Lantikan ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri

LocalPolitics
30 Nov 2022 • 4:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) bersama Tuanku Muhriz dan Raja-raja Melayu berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Majlis Raja-Raja menegaskan pelantikan lima ahli Judicial Appointments Commission (JAC) tidak perlu dibuat oleh Perdana Menteri.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, pelantikan itu sebaliknya harus diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

"Dari segi Badan Kehakiman, Majlis Raja-Raja bertanggungjawab dalam melantik hakim-hakim di Malaysia. Beta melihat proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.

"JAC memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim. Oleh itu, keanggotaan JAC adalah kritikal untuk memastikan JAC terus berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber," titah baginda selepas mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara, pada Rabu.

Baginda bertitah, pada masa ini JAC mempunyai sembilan anggota keahlian merangkumi empat ahli yang merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya adalah individu dilantik oleh Perdana Menteri.

"Bagi memastikan JAC bebas dalam melaksanakan tanggungjawab, beta mencadangkan agar pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri.

"Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan pada mana-mana pihak," titah Tuanku Muhriz.

Dalam pada itu, baginda mencadangkan supaya struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman serta institusi atau pihak yang berkepentingan (stakeholders) lain.

"Sekiranya semua ini dilaksanakan, beta yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah di kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus, dan adil," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Selain itu, turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, selain dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir di mesyuarat itu.