Lapan individu ditahan terbabit pertubuhan haram

LocalPolitics
20 May 2026 • 6:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lapan individu ditahan terbabit pertubuhan haram
Tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menubuhkan atau mengendalikan pertubuhan tanpa kelulusan dan pendaftaran sah.

PERAI – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menahan lapan individu termasuk tujuh warga Indonesia dalam satu operasi penguatkuasaan terhadap sebuah pertubuhan dipercayai beroperasi tanpa pendaftaran sah di Taman Pelangi di sini pada Selasa.

Menurut kenyataan JPPM, dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, empat lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta seorang wanita tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan pertubuhan dikenali sebagai Persatuan Anak Rantau Indonesia (PARI).

"Operasi berkenaan diketuai pegawai penguat kuasa JPPM Pulau Pinang, Inspektor Mohd Taufeeq Azmy dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat berhubung aktiviti pertubuhan tersebut yang dipercayai bergerak tanpa pendaftaran sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada penahanan kesemua suspek untuk membantu siasatan," katanya.

Tambah JPPM, turut dirampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan dengan aktiviti pertubuhan termasuk dokumen pentadbiran, kain rentang program, kad keahlian, cop rasmi persatuan serta beberapa unit telefon bimbit.

"Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi siasatan lanjut.

"Permohonan reman terhadap mereka turut dibenarkan selama empat hari oleh Majistret Mahkamah Bukit Mertajam, Nurul Rasyidah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," ujarnya.

JPPM berkata, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menubuhkan atau mengendalikan pertubuhan tanpa kelulusan dan pendaftaran sah.

"Kita akan terus memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terus terpelihara," katanya lagi.

View Original Article