
IPOH - Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di lapan lokasi sekitar bandar raya Ipoh dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infra, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata buat masa ini lebih 90 peratus kerja-kerja pembangunan di lokasi berkenaan telah dilaksanakan di bawah seliaan Syarikat Mangkubumi Sdn Bhd.
“Lapan lokasi projek berkenaan adalah dua di Jalan Tambun, Jalan Tingkat Taman Ipoh, Jalan Kelab Golf, Jalan Othman Talib, Jalan Bijeh Timah, Jalan Batu Bungkal serta Jalan Kamaruddin Isa.
“Pada asalnya, projek ini mula dilaksanakan oleh Mangkubumi pada 11 Nov 2015 dan sepatutnya siap pada 12 Sept tahun ini, setelah diberikan tempoh lanjutan masa kali keenam. Namun, selepas kajian dilakukan ada beberapa punca yang menyebabkan tempoh itu terpaksa dianjakkan ke November ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Mohammad Nizar berkata antara punca utama projek berkenaan gagal disiapkan pada masa yang ditetapkan adalah disebabkan terdapat struktur bongkah batu bawah tanah di lokasi berkenaan.
“Punca lain (kelewatan) turut terarah kepada ada di antara kemudahan yang digunakan dilokasi berkenaan perlu diimport dari Jerman dan ia memerlukan tambahan masa sebelum sebarang kerja pembangunan dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kelewatan projek berkenaan disiapkan turut menjadi punca kepada kekerapan kejadian kemalangan kenderaan ketika berlaku kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
“Kerajaan negeri juga menerima rungutan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati terhadap kerja-kerja penurapan semula jalan raya daripada projek berkenaan yang didakwa mengecewakan,” katanya.
Justeru, katanya kerajaan negeri meminta Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) untuk melaksanakan pemantauan terhadap pelaksanaan projek yang dijalankan Mangkubumi agar ia berjalan lancar selain tidak menimbulkan sebarang masalah kepada orang ramai. - BERNAMA
