
ISTANBUL: Menteri-menteri luar dari lapan buah negar iaitu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Jordan, Indonesia, Pakistan, Turkiye, Arab Saudi dan Mesir semalam mengeluarkan kenyataan bersama mengecam tindakan Israel menolak pelan damai 15 perkara berhubung isu Gaza yang dikemukakan oleh Lembaga Keamanan.
Lembaga Keamanan Gaza yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu telah merangka pelan berkenaan bagi memulihkan keamanan di rantau tersebut.
Menteri-menteri berkenaan menegaskan bahawa penolakan Israel merupakan penolakan secara langsung terhadap Pelan Komprehensif, menjejaskan pelaksanaannya dan merosakkan usaha kolektif yang telah dijalankan untuk mencapai kedamaian yang adil dan berpanjangan.
Kenyataan itu turut menambah bahawa penolakan tersebut mengesahkan bahawa Israel kini memikul tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan menghalang usaha membawa keamanan di Gaza dan seluruh wilayah Palestin yang diduduki rejim Zionis.
Menurut kenyataan bersama itu lagi, pelan berkenaan sebenarnya telah pun diterima oleh Palestin dan merupakan hasil daripada usaha gigih para perantara antarabangsa.
Lapan negara terbabit menyifatkan pelan berkenaan sebagai pencapaian penting untuk melaksanakan langkah-langkah terkoordinasi, termasuk pelucutan senjata, pengunduran tentera Israel, penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, penyerahan kuasa pentadbiran kepada Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza dan pembinaan semula wilayah yang terjejas.
Bagaimanapun, lapan negara berkenaan tidak mendedahkan tindakan atau langkah susulan khusus yang akan diambil berikutan pendirian berdegil Israel itu.
Kenyataan bersama ini dikeluarkan susulan tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menolak dokumen 15 perkara berkenaan secara terbuka di hadapan Kabinetnya dengan menegaskan bahawa Israel tidak menerima pelan tersebut.
Netanyahu menyatakan bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari Gaza sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya, selain mengulangi penentangannya terhadap penubuhan negara Palestin.
Lembaga Keamanan ditubuhkan pada awal tahun ini bagi memantau pelaksanaan kerangka kerja tajaan AS yang telah membolehkan gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas pada Oktober lalu, selain menyelia proses pertukaran tawanan kedua-dua belah pihak. – AGENSI
The post Lapan negara Islam kecam tindakan Israel tolak pelan damai Gaza appeared first on Utusan Malaysia.




