
KUALA LUMPUR 18 Dis – Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB) terus mempertingkatkan keupayaan keselamatan dan kesiapsiagaan kecemasan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menerusi penerimaan sebuah lagi jentera Penyelamatan dan Pemadaman Kebakaran Lapangan Terbang (ARFF) Ultra Large Foam Tender (ULFT) Rosenbauer Panther 6x6 PA146.
SATSSB dalam kenyataan hari ini berkata, penyerahan rasmi jentera berkenaan daripada Rosenbauer International AG, Leonding, Austria kepada Stesen Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) menandakan satu lagi pelaburan penting syarikat dalam memastikan tahap keselamatan penerbangan bertaraf antarabangsa.
Menurut SATSSB, unit baharu yang diterima pada 7 November 2025 itu dilengkapi teknologi terkini termasuk menara atas bumbung Rosenbauer RM80C, pecutan yang lebih pantas, kapasiti simpanan agen pemadaman yang tinggi serta keupayaan pergerakan optimum di kawasan operasi lapangan terbang.
“Penambahan Rosenbauer Panther 6x6 ini meningkatkan keupayaan keseluruhan pasukan AFRS dalam menangani insiden kecemasan, khususnya melibatkan pesawat udara, dengan tindak balas yang lebih cekap dan selamat,” katanya.
SATSSB turut memaklumkan jentera tersebut melengkapkan flotila Panther 6x6 pertama yang diperoleh pada 2018, yang merupakan kenderaan ARFF pertama di Malaysia dilengkapi fungsi High Reach Extendable Turret (HRET).
Dengan penambahan terbaharu ini, SATSSB kini mengoperasikan empat unit ULFT dengan gabungan kapasiti simpanan sebanyak 35,000 liter air dan 4,200 liter buih.
Menurut syarikat, pelaburan berterusan ini sejajar dengan peningkatan pergerakan penumpang dan aktiviti kargo, sekali gus memastikan tahap perlindungan di lapangan terbang sentiasa berada pada paras optimum.
Ketua Pegawai Eksekutif SATSSB Kennedy Ayu berkata ketibaan jentera baharu itu mencerminkan keutamaan jelas organisasi terhadap aspek keselamatan dan kesiapsiagaan kecemasan.
“Keselamatan adalah teras kepada operasi kami. Penambahan Rosenbauer Panther 6x6 baharu ini memastikan kami terus memenuhi standard tindak balas kecemasan tertinggi dan mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pencapaian Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebagai satu-satunya lapangan terbang yang menerima penarafan 5 bintang di bawah Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) sejak 2021 membuktikan keberkesanan tadbir urus keselamatan yang dilaksanakan.
“Pembaharuan Sijil Aerodrom bagi tempoh 1 Februari 2025 hingga 31 Januari 2028 dengan skor pematuhan 96.05% oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga menunjukkan sistem operasi yang mantap serta pematuhan tinggi terhadap piawaian ICAO,” katanya.
Menurut Kennedy, SATSSB akan terus memberi tumpuan kepada pelaburan dalam infrastruktur moden, sistem digital dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi sebagai persediaan menghadapi pertumbuhan masa depan pergerakan penumpang, permintaan kargo dan keterhubungan serantau.
SATSSB berkata, komitmen berterusan itu memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kekal sebagai pintu masuk udara utama di selatan Malaysia dengan tahap keselamatan, kebolehpercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam kalangan semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com

