
LABUAN: Kenderaan yang diletakkan secara sesuka hati di Lapangan Terbang Labuan tanpa menggunakan petak parkir ditetapkan bakal dikenakan tindakan mengunci tayar (wheel clamp).
Tindak berkenaan sekali gus menggantikan tindakan kompaun yang dilaksanakan sebelum ini.
Notis yang dikeluarkan unit operasi lapangan terbang memaklumkan bahawa tindakan terbabit berdasarkan peraturan parkir berkuatkuasa mulai 6 Ogos.
Berikutan itu semua pengunjung diminta memberikan kerjasama dan mematuhi peraturan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.
Motosikal juga akan dikenakan tindakan sama oleh pihak berkuasa tanpa sebarang notis.
Sebelum ini kenderaan yang diletakkan secara tidak sah dikenakan kompaun RM250 untuk dilepaskan terdiri daripada RM100 bagi kereta dan RM150 sebagai bayaran penahanan.
Bagi motosikal pula kompaun yang dikenakan ialah RM50.
Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan Datuk Wong Kii Yii berkata memandangkan tindakan itu dibuat berdasarkan peraturan ditetapkan, tiada apa yang perlu dipersoalkan kerana pihak berkuasa hanya menjalankan tanggungjawab mereka.
“Namun tindakan mengunci tayar boleh dilihat sebagai agak drastik dan kami berharap pihak berkuasa bersikap munasabah dengan memberikan tempoh kelonggaran kira-kira setengah jam kepada pemandu yang melakukan kesalahan.
“Jika kereta masih berada di tempat yang salah selepas tempoh itu barulah tindakan diambil dan jangan terlalu ketat dalam menguatkuasakan peraturan,” katanya.
Beliau berkata ada kemungkinan pengunjung meletakkan kenderaan di bahu jalan atau tepi jalan kerana mahu menunggu tetamu yang berada di dalam lapangan terbang sementara urusan mengambil bagasi selesai.
“Membayar kompaun masih boleh diterima tetapi apabila kereta tayar kereta, ia menjadi satu kesulitan kepada pengunjung kerana mereka tiba-tiba kehilangan kemudahan pengangkutan dan mungkin mengambil masa berjam-jam untuk mendapatkan semula kenderaan terutamanta pada hujung minggu,” katanya.




