Laporan akhir kematian pakar patalogi dijangka didedah bulan depan - Dr Dzulkefly

LocalPolitics
16 Jan 2025 • 3:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Dzulkefly menunjukkan kaca mata yang diterima salah seorang murid kepada Fadhlina. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Laporan akhir pasukan petugas khas bebas berhubung kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah dijangka didedahkan bulan depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, laporan itu akan didedahkan kepada umum selepas laporan siasatan dibentang kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Dr Dzulkefly berkata, pasukan petugas khas bebas diketuai Tan Sri Borhan Dollah telah membuat pembentangan terakhir dan laporan berkenaan telah diserahkan kepadanya.

"Keluarga (mendiang) memohon untuk diberikan penjelasan dan penerangan. Saya pasti akan memenuhi permintaaan keluarga (mendiang) sebelum saya mendedahkan kepada umum.

"Itu janji saya, kita akan telus," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kaca Mata bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Murid Tahun 1 kategori B40 dan M40 di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada 29 Ogos tahun lepas, kematian pakar perubatan patologi itu di kediamannya, yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja tular menerusi media sosial.

Perkara itu didedahkan adik mangsa, yang mendakwa kakaknya yang berkhidmat di Hospital Lahad Datu, ditindas ketua jabatan selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat bebanan kerja. - Bernama