
KUALA LUMPUR: Laporan awal nahas helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Pendaratan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, laporan penuh nahas itu pula dijangka diterbitkan dalam tempoh setahun.
Katanya, tempoh berkenaan adalah berdasarkan Lampiran 13 (Annex 13) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menggariskan tatacara siasatan kemalangan dan insiden penerbangan.
“Jika merujuk kepada Annex 13, laporan awal akan dikeluarkan 30 hari selepas kemalangan. Itu adalah tempoh standard. Laporan penuh pula akan dikeluarkan setahun selepas kemalangan,” katanya semasa sidang akhbar di Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 di sini semalam.
Katanya, semakan terhadap rekod terdahulu berkaitan pengendali pesawat masih perlu dilakukan bagi mendapatkan maklumat sama ada terdapat sebarang rekod penglibatan dalam kemalangan sebelum ini.
Menurutnya, maklumat berkenaan belum tersedia ketika ini dan pihaknya akan membuat semakan lanjut terhadap rekod berkaitan.
Katanya, siasatan kemalangan akan dijalankan berdasarkan bukti dan maklumat yang dikumpulkan bagi menentukan keadaan kejadian, faktor penyumbang serta punca sebenar kemalangan.
“Sebarang kesimpulan mengenai punca kemalangan hanya akan dapat dibuat selepas proses siasatan dan pemeriksaan terhadap semua bukti selesai,” katanya.
Sementara itu, pasukan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan memaklumkan, pihaknya kini menjalankan analisis serpihan helikopter berkenaan bagi mengenal pasti punca nahas itu.
Namun, proses membawa serpihan keluar dari lokasi dan ke Miri turut berdepan cabaran kekangan logistik ke lokasi.-UTUSAN.
The post Laporan awal nahas dalam 30 hari – CAAM appeared first on Utusan Malaysia.






