
Satu laporan penyiasatan mendalam oleh akhbar Belanda, De Volkskrant, yang mendedahkan tindakan kejam tentera Israel menyasarkan kanak-kanak di Semenanjung Gaza secara sengaja, telah dianugerahkan Hadiah Akhbar Eropah 2026. Anugerah tersebut merupakan antara penghormatan kewartawanan yang paling berprestij di benua Eropah.
Laporan yang bertajuk “What the Wounds Tell” (Apa Yang Diceritakan Oleh Luka) itu dihasilkan oleh dua wartawan penyiasat, Maud Effting dan Willem Feenstra. Menerusi laporan berkenaan, mereka berjaya mendokumentasikan sebanyak 114 kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun yang maut atau mengalami kecacatan kekal akibat terkena satu tembakan tepat di bahagian kepala atau dada.
Pihak juri Hadiah Akhbar Eropah memuji usaha gigih kedua-dua wartawan itu yang menyifatkannya sebagai satu hasil kerja luar biasa dalam keadaan yang amat sukar, memandangkan akses pihak media ke Gaza disekat sepenuhnya. Siasatan itu dibina secara teliti berdasarkan rekod perubatan dan keterangan daripada barisan profesional perubatan antarabangsa yang pernah bertugas di hospital serta klinik di sekitar Gaza.
Difahamkan, para wartawan memilih untuk mengecilkan skop fokus kepada kanak-kanak di bawah umur 15 tahun—termasuk yang sekecil usia tiga, empat, dan tujuh tahun—kerana fizikal mereka jelas membuktikan status mereka sebagai kanak-kanak bawah umur dan tidak sepatutnya dijadikan sasaran konflik.
“Satu peluru di bahagian badan ini merupakan petunjuk jelas bahawa kanak-kanak ini sengaja disasarkan,” jelas Effting dan Feenstra dalam laporan mereka.
Sepanjang siasatan dijalankan, akhbar terbitan Belanda itu telah menemu bual seramai 17 doktor dan seorang jururawat dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, Kanada, dan Belanda yang pernah berkhidmat di 10 kemudahan perubatan di Gaza antara akhir 2023 hingga pertengahan 2025.
Salah seorang saksi utama, pakar bedah trauma dari AS, Feroze Sidhwa, mengimbas kembali pengalaman beliau semasa bertugas di Hospital Eropah di Gaza pada Mac 2024. Beliau mendedahkan telah merawat empat kanak-kanak lelaki berusia di bawah 10 tahun yang mengalami luka tembakan serupa di kepala dalam tempoh hanya 48 jam. Sepanjang tempoh dua minggu berikutnya, beliau terus menemukan sembilan lagi kes kecederaan yang sama.
Barisan pakar forensik dan pakar perubatan yang dirujuk menegaskan bahawa corak seragam pada kecederaan tersebut menolak sama sekali kemungkinan ia berlaku akibat kemalangan atau serpihan bom. Sebaliknya, penemuan klinikal itu dengan jelas menunjukkan kesan tembakan yang disasarkan secara langsung, kemungkinan besar dilepaskan oleh penembak tepat (sniper) atau dron tentera Israel.
(Sumber: TRT World / AA)






