Laporan isu pemilikan saham Azam siap minggu ini - PM

LocalPolitics
3 Mar 2026 • 12:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka siap minggu ini.

Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, beliau akan meneliti terlebih dahulu laporan berkenaan sebelum memutuskan tindakan lanjut termasuk cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan pemilikan saham Azam tersebut.

“Tentang cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja, bagi kita agak pramatang, terlalu awal. Pertama, siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara itu akan siap minggu ini, dalam beberapa hari.

“Jadi kita tengok dulu, apakah kemunasabahan dan rasional untuk melanjutkan serta dalam bidang apa yang perlu diteliti. Jadi saya tidak menerima atau menolak. Biarlah kita ikut prosesnya.

“Pertama, mendapatkan laporan daripada Peguam Negara yang tidak akan tertangguh kerana beliau memaklumkan kepada saya laporan akan disediakan dalam tempoh satu hingga dua hari ini. Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan, itu kita akan lanjutkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai cadangan supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat kes pemilikan saham Azam.

Kerajaan pada 13 Februari lalu mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.