Laporan Ketua Audit: LTAT tegaskan kecairan masih stabil, mampu penuhi semua komitmen

Business & Finance
8 Mar 2024 • 4:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Laporan Ketua Audit: LTAT tegaskan kecairan masih stabil, mampu penuhi semua komitmen

herman

08/03/2024 - 16:31

KUALA LUMPUR 8 Mac - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menegaskan masih solven iaitu mampu memenuhi komitmen kewangan di sebalik kebimbangan mengenai rizab yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 bagi Agensi Persekutuan Selasa lalu.

Menurut LTAT, mereka mengekalkan kedudukan solven melebihi ambang yang diperlukan di bawah polisi dividennya walaupun keuntungan bukan tunai dikecualikan.

"Sebagai sebuah dana persaraan, dividen yang diisytiharkan tidak melibatkan pengeluaran tunai secara terus dan hanya akan dikreditkan ke dalam akaun caruman ahli.

"Oleh itu, kedudukan kecairan LTAT kekal stabil, memastikan kami dapat memenuhi semua komitmen apabila diperlukan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

LKAN 2022 mendedahkan rizab LTAT berbaki negatif RM0.338 bilion pada tahun 2022.

"LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum," kata laporan yang dibentangkan di Parlimen Rabu lalu.

image is not available

Sementara itu, LTAT menegaskan kekal komited terhadap ketelusan, akauntabiliti dan kesejahteraan para pencarum dan penerima manfaat.

"Kami akan terus berusaha untuk mencapai piawaian tertinggi tadbir urus, tatakelola dan pengurusan kewangan untuk menjaga kepentingan semua pihak berkepentingan.

"Dalam hal ini, LTAT akan berhubung dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menangani sebarang pertanyaan atau isu yang berkaitan dengan rizab dan/atau perkara lain yang berkaitan dengan kemampanan dana," jelasnya.

LTAT menjelaskan bahawa rizab negatif LTAT yang telah dibangkitkan dalam LKAN 2022 hanya mewakili satu komponen rizab iaitu, Rizab Pendapatan Komprehensif Lain atau Other Comprehensive Income (OCI).

"Rizab Gabungan LTAT terdiri daripada tiga komponen, iaitu, Keuntungan Tertahan, Dana Rizab dan Rizab OCI, yang secara bergabung mencerminkan kestabilan kewangan LTAT.

"Dana Rizab terus kekal tidak berubah dan ditetapkan pada kadar 2% daripada baki akaun pencarum lantas menyediakan asas kepada kestabilan kewangan," ujarnya.

Tambah kenyataan itu, Rizab OCI pula terdiri daripada keuntungan/kerugian terkumpul aset yang belum direalisasikan yang dilabelkan mengikut piawaian perakaunan sebagai FVTOCI (Nilai Saksama Pendapatan Komprehensif Lain), mencerminkan turun naik dalam pasaran dan prestasi aset.

"Sehubungan dengan itu, walaupun Rizab OCI menunjukkan nilai defisit, baki bersih Rizab Gabungan pada akhir Tahun Kewangan 2022 adalah positif berjumlah RM160 juta, peningkatan daripada tahun sebelumnya.

"Tambahan pula, Rizab Gabungan pasca-dividen yang belum diaudit bagi Tahun Kewangan 2023 juga akan menunjukkan peningkatan, lantas mencerminkan komitmen LTAT terhadap perjalanan transformasinya ke arah pengukuhan kedudukan kewangannya," katanya.

Jelas LTAT, kedudukan Rizab Bersih yang positif ini membawa kepada Nisbah Solvensi Buku melebihi 100%, mengesahkan bahawa Aset Bersih pada Nilai Buku melebihi jumlah caruman pencarum.

Ini menandakan keupayaan LTAT untuk memberi dividen kepada semua pencarum.

"Berkenaan dengan isu Keuntungan Bukan Tunai yang menyumbang kepada pendapatan bagi Tahun Kewangan 2022, jika komponen Untung Bukan Tunai ini diasingkan, LTAT masih dapat mengekalkan kadar solvensi tidak kurang daripada tahap ambang minimum (threshold) seperti mana yang telah ditetapkan dalam Polisi Dividen.

"Sebagai sebuah dana persaraan, dividen yang diisytiharkan tidak melibatkan pengeluaran tunai secara terus dan hanya akan dikreditkan ke dalam akaun caruman ahli. Oleh itu, kedudukan kecairan LTAT kekal stabil, memastikan kami dapat memenuhi semua komitmen apabila diperlukan," jelasnya.- DagangNews.com

View Original Article