
Laporan Ketua Audit Negara Saran Kementerian Rujuk HRD Corp Ke Agensi Penguatkuasaan Berkaitan
Jabatan Ketua Audit Negara menyarankan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk merujuk pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) atau HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
Saranan itu dibuat menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang diterbitkan hari ini, seperti yang boleh diakses di laman web jabatan tersebut.
“Secara keseluruhannya, amalan tadbir urus korporat PSMB adalah tidak memuaskan.
“Terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan PSMB tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan PSMB dalam mencapai fungsi penubuhannya,” kata laporan tersebut.
Antaranya penemuan yang dibuat menerusi Analisis Audit terhadap senarai nama peserta Program PENJANA yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
LKAN saran kementerian rujuk HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan
Menerusi Analisis Audit itu, LKAN mengesan sebanyak 234 permohonan meragukan bagi Skim Gerak Insan Gemilang (GIG) bagi tempoh 2020 hingga 2023 kerana mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang sama berulang kali.
Sebanyak 64 permohonan meragukan itu adalah melibatkan penggunaan nombor kad pengenalan yang sama untuk nama yang berbeza.
Manakala baki 170 permohonan meragukan pula membabitkan penggunaan nama yang sama untuk nombor kad pengenalan yang berbeza.
Menurut LKAN lagi, pengurusan Skim GIG tidak diurus dengan teratur mengikut Garis Panduan Pelaksanaan Program PENJANA yang disediakan sendiri oleh PSMB.
Ketidakaturan dan keraguan dari permohonan dan pembayaran
“Berlaku ketidakaturan dan keraguan dari segi permohonan dan pembayaran yang dibuat kepada penyedia latihan melibatkan bayaran berjumlah RM51.69 juta.
“Keadaan ini menjejaskan hasrat kerajaan untuk memberi peluang kepada lebih ramai pekerja meningkatkan kemahiran dan mengurangkan pengangguran,” kata LKAN lagi.
Dalam rumusan keseluruhan audit, LKAN mendapati bahawa objektif penubuhan PSMB belum tercapai sepenuhnya kerana kelemahan PSMB dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tatakelola dan peraturan yang ditetapkan.
LKAN seterusnya menyarankan KESUMA untuk merujuk PSMB kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
“Kementerian perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan PSMB bagi ketidakaturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.”
Sumber: Laporan Ketua Audit Negara
The post Laporan Ketua Audit Negara Saran Kementerian Rujuk HRD Corp Ke Agensi Penguatkuasaan Berkaitan appeared first on Siakap Keli.


