Laporan Ketua Audit: PR1MA mungkin sukar bayar balik Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.75 bilion
herman
06/03/2024 - 15:40
KUALA LUMPUR 6 Mac - Perbadanan PR1MA Malaysia, agensi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mungkin sukar membuat bayaran balik Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.75 bilion yang akan matang pada bulan Oktober 2024.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022, PR1MA mempunyai baki pinjaman sukuk berjumlah RM3.792 bilion (2021: RM4.542 bilion).
"PR1MA perlu lunaskan (hutang) hingga tahun 2027 termasuk Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada bulan Oktober 2024.
"Berdasarkan kedudukan Tunai dan Kesetaraan Tunai PR1MA pada 31 Disember 2022 yang berjumlah RM0.428 bilion, PR1MA akan menghadapi kesukaran membuat bayaran balik Sukuk Tranche 2," kata laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, PR1MA mengalami kerugian bersih berjumlah RM0.257 bilion dan mempunyai liabiliti berjumlah RM5.746 bilion.
Justeru, Pihak Audit mengesyorkan PR1MA untuk menilai semula strategi pembangunan projek perumahan dan komersial berdasarkan keperluan dan pasaran semasa bagi memastikan kebolehpasaran penjualan unit rumah dan komersial yang telah siap serta mencapai objektif pembangunan projek PR1MA.
PR1MA juga disyorkan memastikan unjuran aliran tunai daripada hasil penjualan unit rumah dan komersial boleh dicapai bagi membiayai aktiviti operasi dan pelunasan pembayaran Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada bulan Oktober 2024. - DagangNews.com
