
KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima laporan lengkap siasatan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Menurut beliau, isu kematian tidak seharusnya dipandang ringan, apatah lagi dijadikan alasan untuk menuduh sewenang-wenangnya atau menyerang individu tertentu termasuk Menteri Pendidikan.
"Ada satu kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan diserang. Apa sudah jadi dengan negara kita ini? Kematian ini bukan soal ringan. Kalau ada kematian, itu tanggungjawab bersama untuk cari kebenaran, bukan terus menuduh sesiapa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Anwar menjelaskan, beliau sendiri telah berhubung secara langsung dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri bagi meminta siasatan dijalankan segera serta segala fakta dikumpulkan secara menyeluruh.
"Ketua Polis Negara maklumkan kepada saya bahawa 60 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan. Kita perlu ingat, negara ini adalah negara yang mengikut undang-undang, bukan negara yang dipenuhi dengan fitnah.
"Siapa pun, sama ada Tan Sri, Datuk Seri, menteri – jika terlibat dalam jenayah pembunuhan atau bersengkongkol – tidak akan dilindungi. Tetapi jangan sesekali membuat fitnah terhadap anak menteri, saudara kepada timbalan perdana menteri atau timbalan ketua menteri," tegas beliau.
Anwar turut memaklumkan bahawa laporan lengkap polis telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada hari sebelumnya, selepas beliau menghadiri majlis Musabaqah al-Quran.
"Saya panggil Peguam Negara dan tanya. Dia kata 'ya', laporan itu kami terima hari Isnin. Saya tidak campur tangan, saya cuma bertanya supaya rakyat tahu perkembangan sebenar," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan supaya tumpuan negara tidak hanya terarah kepada isu sensasi semata-mata, sebaliknya juga perlu memberi perhatian kepada nasib rakyat bawahan.
"Saudara, sekali lagi saya ingatkan, jangan kita lupa nasib petani dan nelayan yang perlu terus diberi perhatian," katanya.
