Laporan PAC: Bekas Pengarah Urusan MAG dedah budaya kerja 'aku berhak' penghalang transformasi MAHB

LocalBusiness & Finance
1 Jul 2026 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Laporan PAC: Bekas Pengarah Urusan MAG dedah budaya kerja 'aku berhak' penghalang transformasi MAHB Image from: Laporan PAC: Bekas Pengarah Urusan MAG dedah budaya kerja 'aku berhak' penghalang transformasi MAHB amree01/07/2026 - 18:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Julai — Budaya kerja yang dipenuhi sikap 'aku berhak' menjadi antara penghalang terbesar kepada usaha transformasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada ketika ini.

 

Perkara itu didedahkan bekas Pengarah Urusan Malaysian Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail yang menilai MAHB berdepan cabaran hampir sama isu Malaysia Airlines suatu ketika dahulu.

 

Perkembangan tersebut mengakibatkan sebahagian tenaga kerja syarikat mempunyai mentaliti terlalu selesa sehingga tidak lagi memberi tumpuan kepada prestasi organisasi dan kepentingan negara.

 

Budaya lama Malaysia Airlines itu ujarnya, memperlihatkan pekerja merasakan kedudukan terjamin sehingga umur persaraan, dan menganggap pelbagai kemudahan sebagai hak yang tidak boleh dipersoalkan.

 

“'Apabila saya bersara nanti, kamu perlu beri saya tiket penerbangan dua kali setahun, itu dan ini, manfaat perubatan serta pelbagai kemudahan lain.' Apabila timbul rasa berhak seperti itu, anda tidak akan berubah. Anda tidak akan memikirkan kepentingan organisasi atau negara. Sebaliknya, anda hanya memikirkan kepentingan diri sendiri,” katanya.

 

Perkara itu didedahkan Izham ketika menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 19 Februari 2025, yang kandungannya diterbitkan dalam laporan panel itu pada 1 Julai 2026.

 

Menurut beliau, mentaliti negatif sedemikian menyebabkan organisasi tersebut sukar berubah kerana pekerja lebih mementingkan kepentingan diri berbanding usaha memperkukuh daya saing syarikat.

 

IZHAM ISMAIL
IZHAM ISMAIL

 

Justeru, beliau berpandangan MAHB perlu melaksanakan perubahan budaya kerja berteraskan prestasi sekiranya benar-benar mahu menjayakan agenda transformasi seperti yang pernah dilakukan oleh MAG.

 

"Antara 2018 hingga 2023, seramai 3,700 kakitangan Malaysia Airlines meninggalkan syarikat susulan prestasi tidak memenuhi sasaran di bawah program penilaian dipersetujui lebih awal," kata Izham.

 

Katanya, pekerja yang gagal mencapai sasaran bagi sesuatu suku tahun diberikan notis, dan sekiranya prestasi masih gagal dipulihkan dalam tempoh ditetapkan, penamatan perkhidmatan akan dilaksanakan.

 

Beliau menegaskan kejayaan transformasi organisasi bergantung kesediaan pengurusan bertindak tegas terhadap prestasi, sambil mempersoalkan sama ada MAHB ada keazaman melaksanakan pendekatan sama.

 

Izham menerajui MAG ketika syarikat itu berdepan tempoh paling sukar termasuk masalah kerugian, pertukaran kepimpinan serta perbincangan mengenai kemungkinan penjualan syarikat oleh kerajaan.

 

Bagaimanapun, selepas penstrukturan semula menyaksikan liabiliti dikurangkan lebih RM15 bilion, hutang sebanyak RM10 bilion dihapuskan dan suntikan modal RM3.6 bilion daripada Khazanah Nasional Bhd.

 

MAG kembali mencatat keuntungan operasi RM540 juta pada 2022 sebelum merekodkan keuntungan bersih pertama pada 2023. Izham menamatkan perkhidmatannya pada Januari 2026. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved