Laporan pengasingan khas pelarian, pemohon suaka dibentang ke Kabinet Jun depan - Saifuddin

LocalPolitics
19 May 2026 • 5:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Laporan pengasingan khas pelarian, pemohon suaka dibentang ke Kabinet Jun depan - Saifuddin
Saifuddin (kiri) menyampaikan APC JIM 2025 pada Selasa.

PUTRAJAYA - Laporan berkaitan pelaksanaan Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) Bidor, Perak akan dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Kabinet pada bulan depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembentangan pada minggu kedua Jun itu selaras permintaan Perdana Menteri pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa.

"Saya meminta Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman untuk menyediakan nota Jemaah Menteri berkaitan PPKPPS dengan kadar segera.

“Kita (KDN) berpeluang untuk memberikan perincian terhadap satu projek khas yang sedang kita jalankan sesuai tanggungjawab yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah tajuk Pengurusan Pelarian Secara komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen Malaysia bagi Tahun 2025 di sini pada Selasa.

Saifuddin berkata, pelaksanaan PPKPPS di Bidor akan menjadi satu ‘game changer’ kepada pengurusan pelarian yang komprehensif di Malaysia.

“PPKPPS projek besar yang akan menentukan (kejayaan) dan berpotensi menjadi game changer kepada satu tajuk besar dalam negara kita iaitu pengurusan pelarian secara komprehensif,” katanya.

Sebelum ini, KDN telah mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh dasar pengurusan warga asing, termasuk pelarian dan pemohon suaka, melalui penubuhan PPKPPS di Bidor, Perak.

PPKPPS Bidor merupakan fasiliti moden yang berperanan sebagai pusat rujukan nasional bagi proses saringan, dokumentasi dan penilaian pelarian serta pemohon suaka.

Inisiatif ini menyokong pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

PPKPPS antaranya bermatlamat mewujudkan pangkalan data pelarian yang kemas, bersepadu dan boleh diaudit, mengurangkan risiko keselamatan melalui proses saringan menyeluruh, memastikan kepatuhan undang-undang Malaysia selain mengelakkan penempatan tidak terkawal di kawasan bandar dan luar bandar.