
SHAH ALAM, 3 JUN: Laporan penuh siasatan teknikal berhubung insiden letupan saluran paip gas milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya pada April lalu dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.
Dato’ Menteri Besar berkata dapatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan digabung dengan hasil siasatan polis bagi memastikan laporan akhir merangkumi semua sudut.

“Siasatan teknikal sedang dilakukan dalam rangka masa yang diberikan iaitu 26 Jun ini akan siap. Siasatan jenayah dijalankan polis tidak boleh keluarkan sekarang kerana kena cantumkan sekali berikutan masih ada ruang yang dikenal pasti dari siasatan jenayah.
“Terutamanya dalam mengenal pasti tentang keutuhan paip, pergerakan tanah, tekanan aktiviti di luar. Itu semua skop siasatan bawah JKKP,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan motosikal elektrik (e-Bike) kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan pihaknya termasuk meneliti kemungkinan unsur kecuaian atau sabotaj telah selesai, dan kini menunggu laporan JKKP sebelum tindakan lanjut diambil.
Insiden letupan yang berlaku pada pagi 2 Syawal itu mencetuskan kebakaran besar dengan api menjulang melebihi 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Letupan turut mengakibatkan terbentuknya kawah besar berkedalaman 9.8 meter dan berkeluasan kira-kira 21 kali 24 meter di tapak kejadian.
The post Laporan penuh letupan paip gas Putra Heights dijangka siap 26 Jun – MB appeared first on Selangorkini.



