
PUTRAJAYA, 19 JAN: Laporan penuh tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada Disember lepas dijangka siap hujung bulan ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata beberapa isu telah dibangkitkan berhubung insiden tersebut selepas laporan awal dibentangkan di Kabinet awal bulan ini, selain perlu memasukkan laporan pihak yang terlibat seperti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan polis.
“Laporan penuh insiden berkenaan akan dibentangkan ke Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan tahun baharu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) di Wisma Sumber Asli di sini hari ini.
Seramai 31 orang terkorban manakala 61 lagi terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat dalam kejadian pada 16 Disember lepas.
– BERNAMA
The post Laporan penuh tragedi tanah runtuh Batang Kali siap hujung bulan ini appeared first on Selangorkini.
