KUALA SELANGOR - Proses pendedahan laporan siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya kini berdepan kekangan undang-undang susulan tindakan mahkamah yang difailkan penduduk kawasan terlibat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keadaan itu menyebabkan urusan semakan serta penyelarasan dokumen laporan terbabit terganggu pada peringkat tertentu sebelum ia boleh didedahkan kepada umum.
Menurutnya, laporan yang disediakan hasil siasatan jawatankuasa bebas dan penyiasat bebas turut melibatkan penelitian teknikal serta input daripada agensi Persekutuan.
"Selain melibatkan elemen teknikal ada juga keputusan mahkamah yang menyebabkan proses berkaitan dokumen ini terganggu pada peringkat tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Loji Sisa ke Tenaga (WTE) 1 di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) Jeram, di sini pada Jumaat.
Amirudin menjelaskan, keadaan itu turut menyebabkan beberapa bahagian laporan perlu diteliti semula terutama yang melibatkan agensi Persekutuan seperti Petronas.
Katanya, kerajaan negeri pada dasarnya tidak mempunyai halangan untuk mendedahkan laporan tersebut kepada umum, namun perlu mematuhi proses serta mempertimbangkan implikasi undang-undang yang sedang berjalan.
"Dari awal saya tekankan laporan ini akan didedahkan, tetapi ia perlu melalui proses yang betul kerana ada aspek bidang kuasa, perundangan dan pihak terlibat di peringkat Persekutuan,” katanya.
"Kerajaan negeri akan memastikan laporan itu dikongsi kepada umum sebaik semua proses berkaitan termasuk isu perundangan selesai," tambah beliau.
Sebelum ini, Amirudin pada 22 Mei lalu memaklumkan, kerajaan Selangor bersedia mendedahkan laporan penuh insiden letupan paip gas itu kepada umum sebaik menerimanya daripada pihak Persekutuan.
Amirudin berkata, laporan penuh sudah ada namun kerajaan negeri sedang menunggu kerana siasatan membabitkan agensi di peringkat Persekutuan.






