
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan rasa syukur selepas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) didedahkan.
Rafizi Dakwa Laporan RCI Timbul Semula Selepas Ucapannya Semasa PRN Johor
Dakwanya, isu berkaitan laporan RCI Tabung Haji timbul selepas ucapannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
“Walaupun TH telah diselamatkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dalam tahun 2019, harga yang dibayar oleh rakyat adalah sangat tinggi. Ia melibatkan puluhan bilion duit cukai rakyat untuk menanggung kerugian dari pelaburan-pelaburan TH selama lebih sedekad.
“TH juga akan mengambil masa berdekad lagi untuk kukuh semula, sementara hutang berpuluh bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat sekurang-kurangnya sedekad lagi,” dakwa beliau sebelum ini, lapor MalaysiaGazette.
‘Isu Laporan RCI Timbul Selepas Kritik Kompromi Politik Anwar Ibrahim Dengan UMNO’ – Rafizi
Menurut Rafizi, beliau adalah ahli politik pertama yang mendedahkan kedudukan rizab Tabung Haji yang negatif bermula dari tahun kewangan 2015.
“Isu laporan RCI Tabung Haji kali ini pun timbul akibat dari ucapan-ucapan saya di PRN Johor sebulan lalu yang mengkritik kompromi politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan UMNO, sehingga laporan RCI itu diperam selama lebih tiga tahun,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Tabung Haji Rugi RM10 Bilion Sebab Tak Ikut Peraturan & Banyak Masalah Sejak 2014 – Anwar
Baca Artikel Berkaitan: Jabatan Audit Negara Gagal Tegur TH Isytihar Hibah 2017 Sebanyak RM2.75 Bilion – RCI Tabung Haji
‘Tabung Haji Terlibat Dalam Skandal 1MDB’ – Rafizi
Jelas Rafizi, selama bertahun-tahun lamanya, beliau telah menjadi mangsa fitnah seolah-olah beliau mahu menghasut orang Islam untuk menjatuhkan Tabung Haji.
Dakwa Rafizi lagi, kerugian yang dialami TH kini berkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya bawa perkara ini ke parlimen seawal Mac 2016, diikuti dengan 34 pendedahan lain di antara 2016 ke 2018 mengenai salah laku, pelaburan yang lesap dan keterlibatan Tabung Haji dalam skandal 1MDB sepanjang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dahulu.
“Saya telah ditangkap, didakwa dan hampir dipenjarakan. Selama sedekad saya menjadi bahan fitnah kononnya saya menghasut orang Islam untuk memusnahkan Tabung Haji.
“Hasil dari pendedahan-pendedahan ini juga telah menjadi modal politik kepada PKR dan Pakatan Harapan selama sedekad,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini (31 Julai).
𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔
𝟯𝟭 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲
𝗥𝗖𝗜 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜:
𝟭𝟬 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗟𝗔𝗟𝗨, 𝟱 𝗣𝗘𝗥𝗗𝗔𝗡𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗠𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗘𝗣𝗔𝗡 𝗥𝗜𝗦𝗜𝗞𝗢
Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)… pic.twitter.com/K8mp1Z47TW
Pendedahan Laporan RCI TH Bersihkan Nama, Dedah 5 Perkara Asas
Mengulas lanjut, Rafizi berkata pendedahan laporan RCI Tabung Haji ini memberi peluang kepada orang ramai supaya dapat membaca dan menilai sendiri, selain membersihkan nama beliau dari fitnah lawan politik mengenai TH.
Rafizi yang juga pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) turut bersetuju dengan hampir semua saranan yang dibuat ahli-ahli RCI termasuklah semua Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji dan anak-anak syarikat Tabung Haji, pegawai-pegawai kanan yang membuat keputusan perlu dipertanggungjawabkan dan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut Rafizi, laporan tersebut mengesahkan lima perkara asas iaitu:
- Pelbagai transaksi yang mencurigakan dan yang menyembunyikan maklumat telah berlaku sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
- Rizab Tabung Haji telah menjadi negatif sejak dari tahun kewangan 2015 dan memuncak dalam tahun kewangan 2017, sehingga memaksa kerajaan PH ketika itu di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad meluluskan satu ‘bail-out’ bernilai RM19.9 bilion (nilai akhir sekitar RM27.8 bilion pada tarikh matang pada keuntungan 4.05% ke 4.10% setahun).
- Hibah (atau keuntungan) tetap diagihkan kepada pendeposit antara tahun 2014 hingga 2017 walaupun rizab Tabung Haji telah menjadi negatif demi populariti politik UMNO/BN, yang menjadikan Tabung Haji beroperasi sebagai skim cepat kaya (menggunakan simpanan pendeposit baru untuk dipusing modal membayar dividen kepada pendeposit lain).
- Tabung Haji telah mencipta peraturan perakaunan dalaman untuk membolehkan hibah dibayar semasa rizab negatif, walaupun itu bertentangan dengan akta dan peraturan-peraturan pelaporan kewangan Malaysia dan antarabangsa.
- ‘Bail out’ Tabung Haji berjumlah RM27.8 bilion (pada nilai akhir semasa matang) melalui UJSB hanyalah satu tindakan sementara yang bergantung kepada kemampuan Kerajaan Persekutuan melunaskan komitmen ‘bail out’ itu pada tarikh matang.
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Orang Pertama Bagi Kerjasama” – Isu Laporan RCI Tabung Haji, Abdul Azeez Sedia Disiasat Semula
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Soal Amanah” – Anwar Jelas Pendedahan Laporan RCI Tabung Haji Bukan Politik Picisan
‘Malaysia Perlu Kanunkan Undang-undang, Satu Bentuk Kesalahan Untuk Pembuat Keputusan’ – Rafizi
Dalam pada itu, Rafizi turut menggesa agar kerajaan mengambil tindakan lebih keras terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan penyelewengan TH tidak kira pangkat dan kedudukan.
“Malaysia perlu mengkanunkan secara undang-undang satu bentuk kesalahan kepada pembuat keputusan (baik menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan) apabila berlaku penyelewengan di bawah seliaan mereka, walaupun mereka mengaku tidak mendapat laba dari penyelewengan itu.
“Harapan saya supaya orang ramai dapat mengetahui kedudukan sebenar Tabung Haji yang sebenarnya masih terdedah kepada risiko kelangsungan, walaupun Anwar Ibrahim mendabik dada kononnya laporan RCI hanya didedahkan kini (setelah diperam selama 3 tahun) kerana pentadbirannya telah berjaya memulihkan Tabung Haji,” dakwanya.






