
Kota Kinabalu: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegagalan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melunaskan hutang yang mencecah lebih RM2 juta.
Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Datuk Ng Loi Tect, berkata jumlah itu termasuk sewa gudang baja dan semua pembayaran yang dituntut PPNS berkaitan kerja pembekalan serta penghantaran baja kepada ahli pertubuhan itu di seluruh negeri.
Dia mendakwa beberapa pegawai Nafas disyaki ada kepentingan lain sehingga sengaja melengahkan proses pembayaran kepada PPNS selama dua tahun.
Katanya, laporan polis juga telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam soal pengurusan kontrak dan pembayaran hutang kepada PPNS.
SPONSORED CONTENT Sabah International Convention Centre’s Big Sabah Sale a big hit Kota Kinabalu: The Sabah International Convention Centre’s (SICC) Big Sabah Sale which concluded on Sunday saw a good response with about 20,000 visitors during the three-day extravaganza. . Read more “Saya ingin tegaskan keperluan untuk Nafas membayar sewa gudang dan hutang yang begitu lama tertunggak, yang merangkumi 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang bergantung kepada kita,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Pengarah PPNS, di sini, Khamis.
Loi Tect turut meminta kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri campur tangan supaya pihak Nafas dipertanggungjawabkan.
Ini selain memastikan sebarang projek berkaitan peladang dan kepentingannya diutamakan dan diberikan kepada PPNS sebagai sebuah pertubuhan yang menjaga kebajikan ahlinya di negeri ini.
“Jadi kita minta PPNS mendapat anugerah projek yang sebelum ini kita dapat, tetapi kebelakangan ini tidak diberikan oleh Nafas kerana dipermainkan oleh pegawai-pegawai kanan Nafas.
“PPN di Semenanjung mendapat anugerah projek, jadi kita minta Sabah juga diberikan layanan yang sama.
“Perhatian perlulah diberi sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mana sepatutnya kita di Sabah dan Sarawak mendapat layanan sama rata dengan rakan-rakan kita di Semenanjung,” katanya.
Loi Tect turut menyatakan sokongannya terhadap tuntutan PPNS tahun lalu berhubung sikap Nafas yang tidak mengambil peduli masalah PPNS dan hutangnya di negeri ini.
PPNS memberi amaran akan menjual semua baki simpanan baja milik pertubuhan itu di negeri ini, bagi menampung bayaran sewaan gudang yang gagal dilunaskan Nafas selepas tiada maklum balas berhubung hutang dituntut itu.
