
Amerika Syarikat (US) dilaporkan telah memberi amaran secara peribadi kepada Rusia mengenai malapetaka jika negara itu menggunakan senjata nuklear sebagai sebahagian daripada pencerobohan Ukraine, lapor AFP.
Setiausaha Negara US Antony Blinken mengesahkan mengenai perkara itu dalam program CBS News ‘60 minit’ di New York yang disiarkan pada Ahad.
“Kami sangat jelas dan bersifat terbuka dengan Rusia dan secara peribadi untuk menghentikan cakap-cakap mengenai penggunaan senjata nuklear ke atas Ukraine.
“Adalah sangat penting untuk Moscow mendengar dan mengetahui daripada kami mengenai akibat yang mengerikan. Dan kami telah menjelaskannya dengan sangat jelas,” katanya dalam program itu.
Ujarnya lagi setiap penggunaan senjata nuklear mempunyai kesan bencana walaupun negara itu yang menggunakannya, namun orang ramai juga akan turut terasa tempiasnya.
Difahamkan, Presiden Rusia Vladimir Putin dalam satu ucapan pada Rabu membuat ancaman terselubung (tertutup) untuk menggunakan senjata nuklear, selepas pengumuman pengerahan pasukan simpanan dibuat.
Tindak balas tegas diberikan sekiranya menggunakan senjata nuklear
Sementara itu, Penasihat Keselamatan US Jake Sullivan berkata dalam temu bual berasingan pada Ahad bahawa US telah memberi amaran kepada Rusia pada ‘tahap sangat tinggi’ tentang ‘akibat bencana’ kerana menggunakan senjata nuklear.

Menurut Sullivan, US dan sekutunya akan bertindak balas dengan tegas sekiranya Rusia menggunakan senjata nuklear.
“Kami telah jelas dan mengetahui secara terperinci tentang apa yang akan berlaku,” katanya dalam temu bual CBS.
Seperti yang diketahui, Rusia dan US merupakan sumber utama dalam persenjataan nuklear terbesar di dunia tetapi ‘terpisah’ (kuasanya) disebabkan memberi ancaman kemusnahan dunia.
Sebelum ini, pihak doktrin ketenteraan Rusia didakwa membenarkan penggunaan senjata nuklear taktikal di medan perang untuk memaksa musuh berundur.
Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov menyifatkan doktrin Rusia itu sebagai ‘dokumen terbuka’.
Untuk rekod, tiada negara di dunia yang menggunakan senjata nuklear di medan perang kecuali US semasa memusnahkan Hiroshima dan Nagasaki di Jepun semasa Perang Dunia Kedua (WW2) pada 1945 dahulu.
Penggunaan senjata nuklear oleh US tersebut meragut lebih 200,000 nyawa penduduk tempatan sebelum Empayar Jepun membuat keputusan untuk menyerah kalah beberapa hari kemudian sebagai penutup WW2.
Sumber: AFP
The post Larang Rusia Guna Senjata Nuklear, US Beri Amaran Secara Peribadi appeared first on Siakap Keli.
