
Larangan Alkohol Antara Faktor, Polis Puji Sikap “Fans” UK Di Qatar, “First Time” Tak Kena Tangkap
Penyokong bola sepak daripada United Kingdom dipuji selepas polis mengesahkan tiada seorang pun warga negara Britain ditahan pada edisi Piala Dunia kali ini, lapor Sport Bible.
Penyokong dari England dan Wales dipuji kerana telah menunjukkan ‘teladan’ di Qatar, di mana tiada warga dari negara itu ditangkap buat pertama kali dalam sejarah kejohanan.
Ketua Konstabel Cheshire, Mark Roberts yang juga merupakan ketua Unit Kepolisan Bola Sepak UK memberikan laporannya mengenai perkara yang berlaku di Qatar itu.
Seramai 3,000 orang penyokong dari negara Britain itu dipuji berkelakuan baik pada perlawanan terakhir peringkat kalah mati yang melibatkan pasukan England.
Mark Roberts percaya bahawa undang-undang yang ketat mengenai larangan penjualan alkohol di Qatar, yang menyaksikan penjualan bir diharamkan beberapa hari sebelum kejohanan bermula adalah merupakan antara sebab penyokong dari UK berkelakuan baik.

“Tingkah laku penyokong England dan Wales di Qatar sememangnya patut dicontohi,” kata Mark kepada Mirror.
Kata Mark lagi, sepanjang penglibatan negara Britain di dalam kejohanan itu, tiada sebarang laporan atau penangkapan dibuat.
Perkara ini perlu diberi kredit kepada semua penyokong yang datang dari jauh untuk menonton dan menyokong negara mereka.
“Secara tradisinya, penyokong dari negara kami pasti akan terlibat dalam beberapa penangkapan di Piala Dunia, tetapi untuk memastikan sifar tangkapan bukanlah sesuatu yang pernah kami saksikan sebelum ini.
“Untuk mengaitkan tingkah laku yang baik ini dengan sekatan ke atas alkohol di Qatar adalah tidak sepenuhnya betul, tetapi saya fikir ianya telah membantu sedikit sebanyak dalam kelakuan penyokong kami,” kata Mark Roberts lagi.
Sumber: Sport Bible
The post Larangan Alkohol Antara Faktor, Polis Puji Sikap “Fans” UK Di Qatar, “First Time” Tak Kena Tangkap appeared first on Siakap Keli.

