
KUALA LUMPUR - Larangan menyeluruh terhadap penjualan vape secara dalam talian di Malaysia bukan sahaja gagal menghapuskan industri berkenaan, malah mendorong kegiatan itu bergerak secara haram dengan lebih agresif, menerusi kewujudan rangkaian pasaran digital eksklusif yang sukar dikesan pihak berkuasa.
Di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), penjualan rokok elektronik dan produk vape secara dalam talian adalah dilarang di seluruh negara.
Bagaimanapun, sekatan itu dilihat tidak menghentikan aktiviti penjualan apabila pengendali pasaran gelap dipercayai beralih daripada platform e-dagang arus perdana kepada ekosistem media sosial serta komuniti dalam talian tertutup.
Difahamkan, akses ke pasaran tersembunyi tersebut kini lebih ketat apabila bakal pembeli perlu mendapatkan rujukan daripada pelanggan sedia ada sebelum permohonan mereka disemak oleh pentadbir kumpulan.
Identiti perujuk akan disahkan dan hanya individu tertentu diluluskan untuk menyertai rangkaian berkenaan.
Selepas melepasi proses tapisan, pengguna diberikan akses kepada katalog peranti vape, pod dan cecair elektronik yang kebanyakannya dipercayai melanggar peraturan semasa di Malaysia.
Antara produk yang diperdagangkan secara terbuka termasuk peranti vape pakai buang yang menawarkan sehingga 32,000 sedutan bagi setiap unit, jauh melebihi had maksimum 3,000 sedutan yang dibenarkan di bawah peraturan berkaitan Akta 852.
Platform bawah tanah itu turut dipercayai menawarkan produk vape berperisa serta reka bentuk pembungkusan yang secara jelas dilarang di bawah undang-undang baharu.
Peralihan pantas daripada platform e-dagang terbuka seperti Shopee dan Lazada turut merumitkan usaha penguatkuasaan, apabila penjual kini lebih banyak bergantung kepada aplikasi disulitkan, forum peribadi dan kumpulan media sosial tertutup.
Pakar keselamatan siber memberi amaran, kaedah penguatkuasaan tradisional semakin tidak mencukupi untuk menangani taktik baharu yang digunakan sindiket vape haram.
Ketua Pegawai Eksekutif LGMS Bhd, Fong Choong Fook berkata, pengendali haram kini semakin meninggalkan penggunaan laman web konvensional dan beralih kepada saluran komunikasi terdesentralisasi.
“Ia sukar dipantau kerana mereka tidak lagi memerlukan laman web sendiri. Mereka beroperasi melalui forum, kumpulan sembang dan kumpulan Telegram.
“Malah, penggunaan laman web khusus kini semakin jarang kerana kebanyakan operasi dijalankan menerusi kumpulan sembang media sosial,” katanya, seperti dilaporkan The Star.
Menurut beliau, walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai keupayaan teknikal untuk menyekat laman web haram, tindakan tersebut hanya memberi kesan sementara.
“Secara teknikal, sangat mudah untuk menyekat sesebuah laman web. Namun, mereka boleh membuka laman baharu pada bila-bila masa, jadi ia tidak menyelesaikan masalah secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan menjadi lebih rumit apabila sindiket beralih menggunakan platform pesanan disulitkan seperti Telegram dan WhatsApp.
“Jika mereka beroperasi melalui Telegram atau WhatsApp, tindakan penguatkuasaan menjadi lebih sukar.
“Saya sendiri pernah melihat kumpulan Telegram yang menjual barangan seludup dan kontraban.
“Kumpulan seperti ini sukar dibanteras kerana ia memerlukan kerjasama daripada penyedia platform media sosial untuk membantu menyekat akaun atau kumpulan terbabit.
“Proses itu mengambil masa panjang dan melibatkan isu perundangan rentas sempadan yang kompleks,” jelasnya.
Dalam masa sama, siasatan kewangan terhadap sindiket vape haram juga masih berdepan cabaran walaupun transaksi digital meninggalkan jejak pembayaran.
Choong Fook berkata, pihak berkuasa masih boleh menjejaki pembayaran dibuat menerusi e-dompet atau pindahan bank, namun siasatan lazimnya hanya membawa kepada akaun keldai atau akaun perantara, bukannya dalang sebenar sindiket.
“Anda berkemungkinan besar hanya akan menemui akaun keldai, bukan penjual sebenar.
“Satu siasatan akan membawa kepada siasatan lain sebelum pihak berkuasa akhirnya dapat menjejaki sindiket terbabit,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan memperketat hukuman selain mewujudkan mekanisme perlindungan pemberi maklumat yang lebih telus, termasuk pemberian insentif kewangan kepada individu yang menyalurkan maklumat, khususnya dalam kes melibatkan penjualan vape kepada golongan bawah umur secara dalam talian.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr M. Selvakumar berkata, agensi penguatkuasaan masih mempunyai pelbagai kaedah siasatan meskipun sindiket menggunakan komunikasi disulitkan.
“Penyulitan hujung ke hujung memang mengurangkan keupayaan untuk melihat kandungan mesej, namun siasatan tidak hanya bergantung kepada akses mesej semata-mata,” katanya.
Menurut beliau, pihak berkuasa lazimnya akan menggabungkan pelbagai pendekatan termasuk aduan awam, penyiasatan penyamaran, rampasan peranti, pengesahan akaun, analisis metadata serta siasatan kewangan.
Selvakumar berkata, antara cabaran terbesar ialah kemampuan komuniti haram itu untuk bergerak pantas dan berpindah ke pelbagai platform dalam tempoh singkat.
Beliau turut menjelaskan bahawa sistem pembayaran digital sebenarnya lebih mudah dijejaki berbanding tanggapan kebanyakan pengguna.
“Penyedia pembayaran berlesen menyimpan rekod transaksi serta melaksanakan kawalan anti-pengubahan wang haram. Oleh itu, walaupun transaksi kecil, ia masih boleh menjadi sebahagian daripada jejak siasatan.
“Cabaran utama bukan soal transaksi yang tidak boleh dijejaki, tetapi kerana pembayaran dibuat melalui pelbagai dompet digital, akaun keldai dan pihak perantara,” katanya.
Sehingga laporan ini diterbitkan, Kementerian Kesihatan masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara tersebut. - Getaran, 27 Mei 2026

