
KUALA LUMPUR - Larangan membeli RON95 yang dikenakan ke atas kenderaan asing masih kekal berkuatkuasa.
Menegaskan perkara ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, ia bagi memastikan subsidi bahan api hanya dinikmati oleh rakyat tempatan yang layak.
Menurut beliau, harga RON95 akan dikurangoan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 mulai Selasa depan.
“Harga ini khusus untuk warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah.
“Warga asing yang tinggal di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar tempatan dibenarkan membeli RON95, tetapi hanya pada harga pasaran yang akan diumumkan hujung bulan ini,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Zon Utara Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Alor Setar, Kedah hari ini.

Jelas Amir, kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand, Indonesia atau Singapura tetap tidak dibenarkan membeli RON95 seperti dasar sedia ada.
Skim subsidi baharu dikenali sebagai BUDI95 ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama bermula Sabtu ini, melibatkan anggota polis dan tentera sebagai kumpulan pertama menikmati harga subsidi.
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kumpulan berpendapatan rendah B40 pula bakal menyusul pada 28 September, sebelum skim ini dibuka sepenuhnya kepada semua rakyat Malaysia yang layak pada 30 September.
Setiap warganegara layak menerima kuota bulanan 300 liter RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Amir memberi jaminan, tiada isu kekurangan bekalan atau masalah logistik di stesen minyak.
Kementerian Kewangan katanya, telah membangunkan sistem pemantauan bagi mengelakkan penyalahgunaan subsidi.
“Mekanisme ini mempunyai kawalan agar penebusan berulang tidak boleh dilakukan sesuka hati. Ia memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk mendapatkan jumlah berlebihan petrol bersubsidi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira risiko pasaran gelap, melibatkan pihak yang cuba menjual semula petrol subsidi kepada kenderaan asing.
“Bagi pengguna dengan keperluan lebih tinggi seperti pemandu e-hailing dan p-hailing, mereka boleh memohon kuota tambahan dengan dokumen sokongan majikan.
“Permohonan itu akan disemak bersama data penggunaan bagi mengelakkan penyelewengan,” katanya. - Getaran, 23 September 2025

