Sebarang aktiviti pengendalian dron tanpa kelulusan di mana-mana lokasi persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan di seluruh negara adalah dilarang bermula dari 26 hingga 31 Ogos 2024. Arahan ini dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan di laman media sosial rasmi.

Turut dimaklumkan bahawa larangan itu bertujuan untuk memastikan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan selamat. Pada masa yang sama mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini berlaku terutamanya membabitkan aspek keselamatan orang ramai serta pasukan yang terlibat dalam sambutan tersebut. Tindakan menerbangkan dron tanpa kebenaran juga dikhuatiri boleh mengganggu latihan dan pertunjukan penerbangan formasi rendah di beberapa lokasi tumpuan sepanjang tarikh yang dinyatakan.
Orang ramai juga diingatkan bahawa sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang risiko serta bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); peraturan 98, peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).


