Lari dari sekatan, dua beradik dan teman wanita positif syabu ditahan

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lari dari sekatan, dua beradik dan teman wanita positif syabu ditahan
Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada sekatan jalan raya polis membawa padah apabila dia bersama adik serta teman wanitanya ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam. Gambar hiasan

MELAKA - Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada sekatan jalan raya polis membawa padah apabila dia bersama adik serta teman wanitanya ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Dalam kejadian awal pagi Ahad itu, pemandu berusia 25 tahun itu bertindak demikian ekoran tidak memiliki lesen memandu kelas D selain mengaku mengambil dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.10 pagi di Jalan Limbongan di sini selepas didapati kenderaan jenis Toyota Avanza itu melarikan diri daripada sekatan jalan raya sebelum dikejar oleh anggota peronda.

“Suspek gagal mematuhi arahan berhenti ketika melalui sekatan jalan raya sebelum bertindak melarikan diri ke arah Lebuh AMJ Cheng menghala ke Paya Rumput sebelum berjaya dipintas dan ditahan di Taman Belimbing Setia, Durian Tunggal, Alor Gajah.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga individu dalam kenderaan berkenaan iaitu seorang lelaki sebagai pemandu dan dua wanita (teman wanita,17 tahun dan adik, 21 tahun) sebagai penumpang,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang barangan salah di dalam kenderaan tersebut.

Ujarnya, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Mahkamah membenarkan suspek lelaki direman selama empat hari bermula 19 hingga 22 April, manakala dua wanita terbabit direman selama dua hari sehingga 20 April bagi membantu siasatan.

Selain itu katanya, polis turut merampas kenderaan yang digunakan dalam kejadian tersebut.