Larikan Dua Kanak-kanak Perempuan, Lelaki Dipenjara Dua Tahun

25 Jul 2024 • 4:22 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang peniaga pisang goreng dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar hari ini atas pertuduhan melarikan dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor pada 19 Julai lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, lelaki berkenaan, Mohamed Shahriza Othman, 32, juga didenda RM2,000 dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

image is not available

Foto: Berita Harian

“Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

“Bapa kepada dua anak itu dituduh menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun daripada penjaganya yang sah di sebuah rumah di Taman Ikan Emas, Kuala Selangor pada 6.30 petang, 19 Julai lalu

“Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan,” tulis laporan tersebut.

image is not available

 

Foto: Media Sosial

Sebelum ini, peguam yang mewakili tertuduh, Muhd Muqri Mohd Khairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu supaya Mohamed Shahriza dikenakan hukuman ringan, kerana merupakan seorang penyara tunggal keluarga dengan pendapatan hanya RM2,000 sebulan.

“Tujuan tertuduh berbuat demikian (menculik) kerana dia menginginkan anak perempuan. Setakat ini, belum ada rezeki dengan dua anak tertuduh adalah lelaki. Ini adalah kesalahan pertama dan tertuduh benar-benar insaf,” ujarnya.

image is not available

Foto: Media Sosial

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon hukuman berat dikenakan kerana melibatkan kepentingan awam dan boleh mengancam nyawa mangsa.

Siti Hajar kemudian memutuskan hukuman yang bersifat pencegahan dan memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam selain menegaskan ia adalah satu kesalahan serius pada pandangan mahkamah.

Sumber: Harian Metro (Amirul Aiman Hamsuddin)