Latihan vokal untuk AJL40 tergendala, saya terpaksa dengar ‘arrangement’ lagu berulang – Marsha Milan

EntertainmentMusic
6 Aug 2026 • 3:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Latihan vokal untuk AJL40 tergendala, saya terpaksa dengar ‘arrangement’ lagu berulang – Marsha Milan

PETALING JAYA: Penyanyi, Marsha Milan, mengakui terpaksa menangguhkan latihan vokal seketika untuk Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) walaupun kesihatan suaranya disifatkan semakin pulih.

Marsha atau Marsha Milan Londoh, 41, berkata, latihan vokal sepenuhnya akan disambung semula sebaik sahaja keadaan vokalnya benar-benar pulih.

“Alhamdulillah, ada perkembangan positif. Cuma buat masa ini saya masih belum boleh berlatih vokal lagi. Sebelum saya sakit tekak, memang sudah ada latihan vokal, tapi tergendala seketika.

“Jadi, saya banyak mendengar susunan lagu secara berulang-ulang, menghayati setiap bahagian, dan buat persiapan dari segi mental dahulu. InsyaAllah apabila suara sudah betul-betul pulih nanti, baharu saya sambung latihan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Marsha reda dengan situasi berkenaan dan menyerahkan keputusan persembahannya nanti sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Saya buat apa yang termampu, selebihnya saya serahkan kepada Allah. Saya rasa setiap lagu ada cara penyampaiannya yang tersendiri.

“Tangisan Seorang Pendosa bukanlah lagu yang perlu menunjukkan vokal besar semata-mata. Yang paling penting adalah rasa dan mesej lagu tersebut sampai kepada pendengar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Marsha menegaskan komitmennya adalah untuk memberikan persembahan terbaik dan dia enggan memaksa keupayaan suaranya untuk menjaga emosi yang ingin disampaikan di atas pentas nanti.

“Insya-Allah saya tetap akan beri yang terbaik dengan keadaan suara saya sekarang. Saya tidak mahu memaksa suara, tetapi saya mahu orang merasakan emosi dan keikhlasan lagu tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Marsha mendedahkan dirinya berdepan ujian kesihatan pada waktu yang cukup kritikal, iaitu kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).

Lebih malangnya, bukan sahaja dia yang terkesan, sebaliknya hampir keseluruhan pasukannya yang terlibat bagi persiapan menjelang AJL40 turut mengalami masalah kesihatan yang sama.

The post Latihan vokal untuk AJL40 tergendala, saya terpaksa dengar ‘arrangement’ lagu berulang – Marsha Milan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved