Eksponen09/10/2026 - 07:00 Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA editor@dagangnews.com Setiap kali belanjawan hendak dibentangkan, perkara pertama yang ramai orang mahu tahu ialah berapa bantuan yang akan diterima. Ada yang menunggu pengumuman bantuan tunai. Ada pula berharap pelepasan cukai ditambah supaya baki pendapatan selepas membayar cukai lebih besar.
Memang itulah yang dekat dengan kehidupan seharian. Bagi keluarga yang terpaksa mengira baki wang sebelum membeli barang dapur, tambahan beberapa ratus ringgit bukan jumlah kecil. Wang itu boleh digunakan untuk membeli keperluan sekolah anak atau membayar bil yang tertunggak.
Menjelang pembentangan Belanjawan 2027, bantuan seperti ini tetap diperlukan. Cuma kita juga perlu melihat apa yang berlaku selepas wang tersebut habis dibelanjakan.
Kalau tahun depan keluarga yang sama masih tidak cukup wang untuk keperluan asas, masalah mereka belum selesai. Bantuan meringankan beban, tetapi pendapatan yang tidak sepadan dengan perbelanjaan akan terus membuatkan mereka bergantung padanya.
Malaysia memasuki musim belanjawan kali ini dengan prestasi ekonomi yang meyakinkan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 6.0% pada suku kedua 2026, manakala pertumbuhan separuh pertama tahun itu mencapai 5.7%. Kadar inflasi pada Ogos pula ialah 1.9%.
Angka ini memberi gambaran bahawa ekonomi negara berkembang dengan baik. Namun, bagi orang yang membayar sewa rumah, membeli makanan dan menanggung persekolahan anak, ukuran mereka lebih mudah: cukup atau tidak gaji bulan ini?

Makan yang sama tetapi bayar lebih mahal
Kenaikan harga ini terasa ketika makan tengah hari di kedai mamak. Sebelum ini, nasi dengan seketul ayam, dua jenis sayur dan segelas teh O ais boleh didapati sekitar RM12 hingga RM14. Sekarang, hidangan yang sama di sesetengah kedai sudah menjadi RM18 hingga RM20.
Harganya naik senyap-senyap. Kadangkala, selepas membayar barulah kita sedar makan tengah hari yang biasa pun sudah menelan belanja sebanyak itu.
Bagi pekerja yang kerap makan di luar, beza beberapa ringgit setiap kali makan memang terasa apabila dikira pada hujung bulan. Lauk yang diambil masih sama, bukannya bertambah.
Gaji pula belum tentu naik. Sebab itu, apabila mendengar angka pertumbuhan ekonomi dan inflasi yang rendah, mereka mungkin teringat harga makan tengah hari yang baru dibayar.
Inflasi yang rendah tidak bermaksud harga barang sudah turun. Harga masih meningkat, cuma pada kadar yang lebih perlahan. Barang yang dahulunya murah tidak semestinya kembali kepada harga asal.
Mereka masih menanggung kenaikan harga yang terkumpul sejak beberapa tahun lalu, sedangkan pendapatan mungkin tidak banyak berubah. Sebab itu, angka inflasi yang baik belum tentu membuatkan orang ramai berasa lega.
Dalam keadaan ini, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka terus mendapat perhatian. Peruntukan kedua-duanya mencecah RM15 bilion pada 2026. Tidak menghairankan jika bantuan ini diteruskan atau ditambah dalam Belanjawan 2027.
Bantuan tersebut memang ada kegunaannya. Namun, usaha menaikkan pendapatan perlu mendapat perhatian yang sama. Orang ramai memerlukan pekerjaan yang membayar gaji lebih baik dan peluang untuk menambah kemahiran supaya mereka boleh beralih kepada pekerjaan itu.
Subsidi perlu mengambil kira kehidupan sebenar
Pada masa yang sama, kerajaan berdepan dengan perbelanjaan subsidi yang besar. Langkah penyasaran subsidi dan pelarasan harga dianggarkan menjimatkan sekitar RM15.5 bilion setahun. Namun, tekanan harga tenaga dunia menyebabkan perbelanjaan subsidi bahan api pada 2026 berpotensi mencecah RM40 bilion.
Kerajaan perlu melindungi pengguna daripada kenaikan harga minyak sambil menyediakan wang untuk hospital, sekolah, pengangkutan dan keperluan lain. Pilihan ini menjadi lebih sukar apabila harga tenaga dunia meningkat.
BUDI95 dijangka terus menjadi antara perkara yang diperhatikan dalam Belanjawan 2027. Bagi pengguna, persoalannya ialah sejauh mana perlindungan harga petrol akan dikekalkan dan siapa yang layak menerimanya.
Dalam menentukan bantuan, pendapatan sahaja tidak cukup untuk menggambarkan keperluan seseorang. Keluarga yang tinggal jauh dari tempat kerja dan tiada pengangkutan awam mungkin terpaksa menggunakan kereta setiap hari. Mereka tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengurangkan perbelanjaan petrol.
Keadaannya berbeza bagi keluarga yang mempunyai akses kepada kemudahan transit. Perbezaan seperti ini perlu diambil kira supaya penyasaran subsidi lebih dekat dengan perbelanjaan sebenar rakyat.
Rakyat juga wajar diberitahu bagaimana penjimatan subsidi digunakan. Jika sebahagiannya disalurkan kepada pengangkutan awam atau kemudahan kesihatan, nyatakan dengan jelas supaya mereka boleh menilai hasilnya.
Gaji lebih besar belum tentu baki lebih banyak
Golongan berpendapatan sederhana pula berharap belanjawan kali ini turut mengambil kira keadaan mereka. Ada yang tidak layak menerima bantuan tertentu, tetapi selepas membayar ansuran rumah, kenderaan, penjagaan anak dan pendidikan, baki pendapatan mereka juga kecil.
Pelepasan cukai dan bantuan penjagaan anak boleh membantu. Namun, penilaian kemampuan keluarga perlu melihat bilangan tanggungan, tempat tinggal dan kos sara hidup. Dua keluarga dengan pendapatan yang sama belum tentu mempunyai baki wang yang sama pada hujung bulan.
Belanjawan 2027 juga perlu menjelaskan bagaimana pelaburan baharu boleh meningkatkan pendapatan rakyat. Malaysia semakin berjaya menarik pelaburan dalam semikonduktor, teknologi digital, kecerdasan buatan dan infrastruktur tenaga. Insentif industri serta latihan kemahiran dijangka terus diberi perhatian.
Apabila nilai pelaburan diumumkan, orang ramai mahu tahu peluang pekerjaan yang akan tersedia. Berapa gajinya? Apakah kemahiran yang diperlukan? Bolehkah graduan tempatan mengisi jawatan tersebut?
Kita mahu lebih ramai rakyat Malaysia mendapat peluang menjadi pereka cip, jurutera dan penyelidik. Syarikat tempatan juga perlu berpeluang membekalkan teknologi dan perkhidmatan kepada pelabur supaya manfaatnya sampai kepada lebih banyak perniagaan dan pekerja.
Semua ini memerlukan perbelanjaan, sedangkan kerajaan masih perlu mengawal defisit fiskal. Defisit telah mengecil daripada 4.1% daripada KDNK pada 2024 kepada 3.7% pada 2025. Belanjawan 2027 dijangka meneruskan usaha itu, walaupun sasaran sebenar hanya akan diketahui selepas pembentangan.
Apa yang berubah selepas belanjawan?
Mengawal defisit tetap penting, tetapi kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih perbelanjaan yang hendak dikurangkan.
Kesihatan, pendidikan dan pengangkutan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat serta kemampuan mereka untuk bekerja. Peruntukan dalam bidang ini perlu digunakan dengan baik dan hasilnya mesti dapat dirasai.
Bagi saya, ukuran kejayaan Belanjawan 2027 ialah perubahan pada kehidupan selepas pembentangan itu. Bantuan tunai memang akan melegakan ramai keluarga.
Namun, mereka juga mahu gaji yang cukup, rawatan yang lebih mudah diperoleh dan kos perjalanan yang mampu ditanggung.
Kalau semakin ramai boleh memenuhi keperluan ini tanpa menunggu bantuan tahunan, barulah mereka akan merasakan hidup benar-benar bertambah baik.
Setidak-tidaknya, apabila membayar nasi, ayam, dua jenis sayur dan teh O ais di kedai mamak, mereka tidak lagi perlu berkira-kira berapa baki wang untuk makan esok. - DagangNews.com






