KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat laungan 'tolak UMNO' ketika Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Negeri Sembilan pada malam Rabu hanya reaksi akar umbi yang mungkin tidak mendapat gambaran jelas tentang pendirian yang dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau menghargai pemimpin utama dalam PH kerana memahami perkara dan isu sebenar.
"Bagaimanapun, di peringkat akar umbi saya faham perasaan mereka kerana mungkin tidak mendapat gambaran jelas tentang pendirian UMNO dan BN serta apa yang saya nyatakan.
"Saya telah perhatikan dalam kalangan pimpinan atasan parti kompenan PH mereka sangat faham dan saya juga teliti setiap ucapan mereka ketika berucap dalam perhimpunan itu," katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Sebelum ini, UMNO Negeri Sembilan dilaporkan menyuarakan pendirian menolak kepemimpinan Aminuddin berhubung isu berkaitan adat dan institusi pemerintahan di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor dilaporkan berkata, pihaknya menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di negeri itu seperti diputuskan Biro Politik UMNO dan Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH.
Tambah Ahmad Zahid, majlis tersebut merupakan anjuran PH dan beliau sedia maklum mengenai perkara tersebut.
"Mereka telah maklum pada saya. Kumpulan sasarannya adalah parti dan ahli komponen dalam PH.
"Jadi bukan soal jemput atau tidak tapi itu 'crowd' mereka," ujarnya.





