
KUALA LUMPUR - Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Mahkota Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa hari ini membolehkan kedua pihak menilai tahap kemajuan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain.
Anwar berkata, pertemuan yang berlangsung di Istana Gudaibiya, Manama itu juga membuka peluang untuk kedua negara meneroka bentuk kerjasama baharu.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan meliputi beberapa bidang tumpuan, antaranya pelaburan dan perdagangan.
Turut menjadi topik perbincangan ialah kewangan dan perbankan Islam, semikonduktor serta kesalinghubungan meliputi sektor pelancongan.
“Kami juga menyentuh isu serantau terutamanya melibatkan situasi di Asia Barat, khususnya Palestin yang memerlukan kerjasama serta tekad yang menyeluruh.
“Kita juga perlu memastikan saudara Islam di sana dalam keadaan baik selain mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri tiba di Bahrain hari ini untuk lawatan rasmi atas jemputan Putera Salman, yang juga Putera Mahkota negara itu.
Menerusi hantaran sama Anwar memberitahu, beliau turut mengundang Putera Salman ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China.
“Semoga hubungan Malaysia dan Bahrain terus diperkukuh sekali gus dapat menarik lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara,” katanya.
Perdana Menteri esok dijadualkan menghadap Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa di Istana Sakhir, yang menjadi lokasi acara diraja di bahagian selatan negara itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan Bahrain, Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa, serta melawat Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain bagi meneroka kerjasama ekonomi. - Getaran, 19 Februari 2025

