
KUALA LUMPUR - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia selama empat hari tidak bermakna Malaysia berpihak kepada mana-mana blok kuasa.
Anwar berkata, hubungan dengan Rusia tidak menjejaskan persahabatan negara dengan Amerika Syarikat, China atau mana-mana rakan dagang lain.
Tegas beliau, Malaysia berhak menentukan hala tuju secara bebas dan berprinsip demi kepentingan rakyat.
“Dalam sidang media bersama media Malaysia di akhir lawatan rasmi ke Rusia, saya tegaskan kejayaan bermakna yang dicapai dalam memperkukuh persahabatan Malaysia-Rusia, meneroka ruang kerjasama strategik baharu dan memperluas peranan Malaysia sebagai jambatan antara dunia Islam dan kuasa besar global.
“Pertemuan bersama Presiden Vladimir Putin membuka potensi perdagangan, pelaburan, pelancongan, di samping menyimpulkan penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jelas Perdana Menteri, Putin turut nyatakan dukungan terhadap kerjasama dalam industri halal dan kewangan Islam.
“Saya menghargai hubungan persahatan yang terjalin dengan Presiden Putin.
“Alhamdulillah, delegasi Malaysia membawa pulang pengalaman yang amat berharga dari Rusia, sama ada dalam memperkukuh hubungan dua hala dan merintis kerjasama baharu mahupun penghayatan sejarah, kekayaan budaya serta semangat ketahanan rakyatnya,” katanya.
Anwar memberitahu, beliau turut membangkitkan isu berkaitan tragedi MH17 pada pertemuan bersama Putin.
“Malaysia berpegang pada prinsip bahawa kebenaran mesti ditegakkan demi keadilan buat mangsa serta keluarga mereka,” katanya.
Menerusi pertemuan bersama rakan sejawatnya, Mikhail Mishustin pula, Perdana Menteri berkata kedua-dua pihak berbincang mengenai kerjasama dalam bidang pertanian termasuk koko dan minyak sawit, serta usaha menyelesaikan isu-isu yang membantutkan usaha dagangan dua hala.
“Sesi meja bulat bersama 24 syarikat utama Rusia membuka potensi kerjasama dalam pelbagai sektor daripada produk berasaskan sawit, industri kimia dan perabot, sehinggalah teknologi digital dan kecerdasan buatan. Minat yang ditunjukkan amat memberangsangkan,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Anwar berkata, beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik "Russia-Islamic World" dan KazanForum di Kazan menegaskan kepentingan untuk dunia Islam bangkit sebagai kuasa yang membina keamanan, keadilan dan harapan.
“Saya turut bertemu Mufti Rusia, Presiden Turkmenistan dan tokoh-tokoh utama dunia Islam.
“Penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa dan persahabatan yang dihulurkan,” katanya. - Getaran, 17 Mei 2025



