
PETALING JAYA – Malaysia dan Jepun memperkukuh kerjasama pertahanan menerusi lawatan kerja Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara itu selama empat hari bermula hari ini hingga 21 Oktober.
Mohamed Khaled berkata, antara agenda utama lawatan itu ialah mesyuarat bilateral bersama Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi dan Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi.
Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, hari ini berkata, lawatan itu turut melibatkan majlis menandatangani dokumen bantuan geran di bawah program Official Security Assistance kerajaan Jepun.
Selain itu, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Acquisition, Technology & Logistics Agency serta melawat syarikat pertahanan Jepun, Toshiba.
Menurutnya, lawatan berkenaan berlandaskan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan Jepun bagi memperkukuh hubungan pertahanan serta memperluas ruang kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.
“Semoga segala usaha ini membawa manfaat nyata kepada pertahanan negara, di samping meningkatkan persefahaman dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, ketibaan Mohamed Khaled disambut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani dan Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo, Kepten Mohamad Fazri Ibrahim.
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri. – KOSMO! ONLINE
The post Lawatan Mohamed Khaled ke Jepun perkukuh kerjasama pertahanan appeared first on Kosmo Online.




