Lawatan Presiden China: Jalan ditutup bukan sengaja, ini penjelasan dari sudut keselamatan negara

LocalPolitics
16 Apr 2025 • 5:04 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kehadiran Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dari 15 hingga 17 April mencetuskan pelbagai reaksi susulan penutupan sementara beberapa laluan utama di Lembah Klang dan Putrajaya.

Namun, langkah itu bukan bertujuan menyusahkan rakyat seperti yang didakwa segelintir pihak, sebaliknya merupakan prosedur keselamatan yang ketat melibatkan pemimpin berprofil tinggi dunia.

Jalan sesak | Foto: Mohd Ezairol Rezan Zainol

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, seramai 1,089 anggota dan pegawai polis ditugaskan mengawal keselamatan serta mengurus trafik sepanjang lawatan berlangsung. Penutupan laluan selama 30 hingga 45 minit adalah sebahagian daripada SOP keselamatan bagi memastikan perjalanan Presiden China berjalan lancar tanpa sebarang risiko.

Penjelasan lebih lanjut turut dikongsikan oleh bekas anggota polis, Mohd Ezairol Rezan Zainol, menerusi satu hantaran Facebook yang tular. Beliau menjelaskan bahawa pemimpin dari negara kuasa besar seperti China tergolong dalam kategori ‘high risk’, menjadikan kawalan keselamatan menjadi keutamaan.

Antara langkah diambil termasuk penempatan penembak tepat, rondaan udara oleh helikopter dan dron, pengawasan preman oleh unit khas, serta penggunaan kenderaan kalis peluru sepanjang lawatan.

Kenderaan rasmi Presiden China | Foto: Mohd Ezairol Rezan Zainol

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang kejadian tidak diingini ke atas pemimpin seperti Xi Jinping bukan sahaja mencemarkan imej negara, malah boleh mengundang ketegangan diplomatik, kesan ekonomi yang besar dan potensi ancaman ketenteraan.

Justeru, rakyat digesa memahami kepentingan kawalan keselamatan tersebut dan tidak terburu-buru menyalahkan pasukan keselamatan.

Malaysia dan China telah menjalin hubungan dagang kukuh sejak sekian lama, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM856 bilion. Lawatan Xi Jinping dilihat sebagai satu peluang penting untuk memperkukuh hubungan ekonomi serta memperluas kerjasama serantau.

Oleh itu, keselamatan dan kelancaran lawatan ini bukan sahaja simbol maruah negara, tetapi juga pelaburan masa depan Malaysia.