Lawatan rasmi TPM ke UAE fokus industri halal, TVET, AI

13 Nov 2024 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

ABU DHABI - Hubungan di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diharap akan berterusan melalui lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bermula hari ini sehingga 19 November 2024.

Dalam lawatan ini, Ahmad Zahid dijadual terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi, tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dua hala dengan penekanan khusus kepada sektor utama seperti industri halal, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kecerdasan buatan (AI).

Lawatan ini sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022.

Delegasi Malaysia juga akan mengunjungi Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence dan berinteraksi dengan wakil-wakil daripada G42, sebuah syarikat AI terkemuka di UAE.

Ahmad Zahid akan diiringi oleh pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan, serta wakil-wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Lawatan rasmi ini merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara padatahun 2024 selepas lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UAE pada Oktober 2023.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut akan merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pemegang taruh berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha untuk mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

Tahun lalu, UAE merupakan pengimport terbesar produk halal Malaysia dalam kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE meningkat sebanyak 16.03 peratus kepada RM32.85 bilion (AS$7.5 bilion) berbanding RM28.31 bilion (AS$6.5 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.