Layar Seni @ Bitara 3.0 Perkukuh Diplomasi Budaya Malaysia-Indonesia

3 Jun 2025 • 10:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Layar Seni @ Bitara 3.0 Perkukuh Diplomasi Budaya Malaysia-Indonesia
Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan (tiga dari kiri) bergambar bersama delegasi Indonesia dan pengurusan UPSI sempena majlis perasmian Layar Seni @ Bitara 3.0 Malaysia-Indonesia 2025 yang diadakan di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI. Oleh: Bazli Razak

TANJUNG MALIM, 30 Mei – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia menerusi penganjuran Layar Seni @ Bitara 3.0 Malaysia-Indonesia 2025.

Pengetua Kolej Ungku Omar yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan, berkata penganjuran program itu membuktikan komitmen UPSI untuk terus menjadi peneraju kerjasama kebudayaan peringkat antarabangsa yang bersifat holistik dan inklusif.

Beliau berkata, program yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun itu bukan sahaja membuktikan komitmen UPSI dalam mendukung pembangunan seni dan warisan budaya serantau, malah mengukuhkan hubungan diplomatik pendidikan melalui pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

“Program yang kini memasuki edisi ketiga sejak dimulakan pada 2023 ini terus memperkukuh kerjasama erat antara UPSI dan institusi pendidikan di Indonesia seperti Universitas Pendidikan Indonesia serta Institut Seni Bandung, selain sokongan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

“Kita berbangga menerima kehadiran 30 peserta delegasi dari Indonesia yang turut serta dalam pelbagai pengisian program,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan majlis tersebut yang diadakan di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Menurut beliau, program dwitahunan itu terus menjadi medan strategik bagi memperkukuh hubungan budaya dan pendidikan antara dua negara serumpun menerusi seni, selain mengangkat UPSI sebagai rumah seni budaya yang menyatukan warisan serantau dalam satu platform berprestij.

“Kesenian dan kebudayaan bukan sekadar hiburan. Ia adalah bahasa perpaduan yang melangkaui sempadan geografi dan perbezaan.

“Melalui Layar Seni @ Bitara ini, kita bukan sahaja memperkenalkan keindahan budaya Malaysia kepada masyarakat luar, tetapi juga membina jambatan persahabatan yang kukuh dengan negara jiran,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Tambah beliau, pengisian tahun ini yang melibatkan bengkel tarian seni klasik Malaysia dan bengkel seni tari Jaipong dari Indonesia membuktikan bahawa pertukaran budaya dapat berjalan dua hala sekaligus memperkayakan pengalaman peserta sambil memelihara seni warisan bangsa.

“UPSI percaya bahawa pendidikan tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah. Ia turut berlaku di pentas persembahan, dalam gerak tari dan irama, dan melalui dialog antara budaya.

“Justeru, mahasiswa perlu diberikan ruang untuk meneroka dunia seni sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka.

Menurut Dr. Mohd Nizam, sejak diperkenalkan pada 2023, program Layar Seni @ Bitara telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti bengkel angklung, seni batik, tarian tradisional Indonesia serta pameran seni visual, dan kini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan di peringkat universiti dan antarabangsa.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan kolaborasi seperti Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Institut Seni Budaya (ISB) Bandung, serta Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, yang disifatkan sebagai tonggak utama dalam menjayakan kesinambungan program ini.

“Kita yakin, melalui pendedahan seumpama ini, bakat baharu dalam kalangan mahasiswa dapat dicungkil dan diasah, seterusnya melahirkan generasi pelapis yang bukan sahaja celik akademik, tetapi juga peka terhadap pemeliharaan budaya dan nilai murni,” ujarnya.

Hadir sama Kepala Unit Pelaksana Teknis Kebudayaan UPI, Dr. Ayo Sunarto; Kepala Biro ISBI Bandung, Pak Dede Priana; Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI, Siti Salwa Jamaldin; Dekan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani; Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Dr. Ghazali Din


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.