Lazada x APU ASBX Business Challenge perkasa pereka cipta muda, usahawan generasi baharu
zulfadli
10/07/2023 - 12:25
KUALA LUMPUR 10 Julai - Seramai 14 pelajar dari Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) diumumkan sebagai pemenang cabaran Lazada Malaysia x APU ASBX Business Challenge yang berlangsung baru-baru ini.
Lazada memaklumkan, program tersebut dibangunkan demi menyediakan platform dinamik yang dapat memupuk semangat keusahawanan dan pemikiran analitikal berteraskan perniagaan dalam kalangan para pelajar, lantas mewujudkan peluang bagi mereka memahami tentang industri e-dagang dengan lebih mendalam, dari perspektif penjualan produk dalam talian.
Katanya, Lazada Malaysia x APU ASBX Business Challenge merupakan salah satu inisiatif di bawah program Enterprise@APU yang dikenali sebagai ASBX (APU SandBox).
"Ia bermula dengan bengkel pertama pada April 2023, yang dikendalikan dalam mod hibrid iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian selama dua bulan, diikuti dengan kemuncak pertandingan akhir Business Challenges pada akhir Jun 2023.
"Terbuka kepada semua pelajar APU, 21 pasukan terdiri daripada 105 pelajar dari Fakulti Pemasaran dan Pengurusan, Fakulti Kejuruteraan dan Felo Akademik Keusahawanan mengambil bahagian dalam cabaran tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Lazada, sepanjang dua bulan proses pembelajaran, para pelajar digalakkan untuk mengoptimumkan teknologi terkini sebagai penyelesaian ke arah menambahbaik perjalanan penjual Lazada.
Katanya, para pelajar yang mengambil bahagian turut membentangkan kes-kes kajian yang amat memberangsangkan seperti, penggunaan 'blockchain' untuk mengurangkan kerumitan logistik, rumusan untuk meningkatkan prestasi kedai penjual Lazada, bot AI bagi membantu ulasan dan banyak lagi.

"Pada kemuncak peringkat akhir Business Challenge, Pasukan Bargain membentangkan idea terbaik iaitu ‘Integrated Young Entrepreneurs Community Platform with AI-Enabled Imaging’, lantas menempatkan mereka sebagai juara.
"Pasukan Underrated pula diumumkan sebagai naib juara menerusi pembentangan idea yang bertajuk ‘Gamified Seller Platform and Rewards System to Motivate Seller Participation on eCommerce Platform’.
"Pasukan The Hustlers meraih tempat ketiga menerusi pembentangan idea mereka, ‘Embedding Artificial Intelligence to Personalise Sales for Digitally Savvy and Active Customers on Social Media’. Ketiga-tiga pasukan ini berjaya memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1,500 serta hadiah istimewa daripada Universiti Lazada," katanya.
Dengan dorongan objektif jangka panjang bagi memperkasakan belia tempatan dan bakat yang mampu bersedia untuk masa hadapan, inisiatif bermanfaat yang menambah nilai oleh Lazada seperti program ini pastinya dapat menggalakkan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan organisasi seperti Lazada, lantas menyumbang ke arah usaha memperkasakan usahawan generasi baharu. - DagangNews.com
