
LABUAN: Dewan Perniagaan Labuan (LCC) dan Jabatan Imigresen akan bekerjasama rapat untuk memastikan aktiviti pindah kapal yang baru dihidupkan semula di pulau ini berjalan lancar.
Pengerusi LCC Daniel Doughty berkata satu mesyuarat telah diadakan dengan para pegawai Jabatan Imigresen Labuan semalam (23 Feb) untuk membincangkan keperluan pembabitan pihak berkuasa itu dalam operasi pindah kapal.
“Mesyuarat dengan para pegawai imigresen mengenai aktiviti pindah kapal yang telah bermula semula membuahkan hasil,” katanya.
Daniel berkata komitmen imigresen dalam memastikan proses pindah kapal yang lancar diperlukan kerana kapal pertama dari Tawi-Tawi di selatan Filipina sedang dalam perjalanan ke Labuan sejak 21 Feb.
“Jabatan itu menyatakan kesediaannya untuk memastikan operasi aktiviti pindah kapal yang lancar di Labuan.
“Semasa mesyuarat itu, LCC memberikan penekanan tentang kepentingan mengindustrikan dan menyusun semula perdagangan lama Labuan yang sebelum ini dikenali sebagai perdagangan tukar barang kerana ia penting kepada pertumbuhan dan kemampanan industri pindah kapal di Labuan.
“LCC juga bersetuju dengan cadangan pegawai imigresen agar LCC menjadi sekretariat sekiranya Labuan mahu membentuk jawatankuasa agensi antara kerajaan pindah kapal, yang akan menjadi langkah penting ke arah merancakkan industri pindah kapal di pulau ini,” katanya.
Setakat hari ini, LCC telah membantu mempermudahkan tiga syarikat tempatan di sini yang diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti pindah kapal. -Bernama

