LCS: Fadzmel Dakwa Guan Eng Cuba Hidupkan Semula Naratif Lama Kaitkan Zahid

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 7:05 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

LCS: Fadzmel Dakwa Guan Eng Cuba Hidupkan Semula Naratif Lama Kaitkan Zahid

Kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang mengaitkan perkembangan terkini Projek Littoral Combat Ship (LCS) dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai usaha menghidupkan semula naratif lama.

Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil berkata, projek LCS telah melalui pelbagai peringkat pentadbiran membabitkan beberapa Menteri Pertahanan, proses semakan, siasatan, audit forensik, tindakan undang-undang serta penstrukturan semula oleh kerajaan.

Menurutnya, perkembangan projek yang dibangkitkan ketika ini berlaku bertahun-tahun selepas Ahmad Zahid tidak lagi memegang portfolio Menteri Pertahanan.

“Hakikatnya, perkembangan yang dibangkitkan hari ini berlaku bertahun-tahun kemudian, namun nama beliau terus dipetik semula semata-mata untuk menjejaskan reputasi dan kredibiliti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan.

“Pada peringkat awal, nama Ahmad Zahid memang cuba dikaitkan dengan projek LCS berdasarkan dokumen dan keputusan awal ketika beliau menerajui Kementerian Pertahanan.

“Namun, kewujudan catatan atau arahan pada peringkat tersebut tidak bermaksud keseluruhan projek telah diluluskan atau segala keputusan selepas itu dibuat oleh beliau,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng mengaitkan perkembangan terkini projek LCS dengan kontroversi perolehan ketika Ahmad Zahid menjadi Menteri Pertahanan, termasuk nota tangan “Sila dilaksanakan” pada surat berkaitan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadzmel berkata, penelitian melalui Pengauditan Forensik LCS oleh Alliance IFA yang dikemukakan pada Julai 2020 turut merangkumi aspek tadbir urus, proses perolehan, pembayaran, pengurusan projek dan tindakan pihak yang terlibat dalam pelaksanaannya.

Jelasnya, beliau mendakwa tiada dapatan dalam audit forensik berkenaan yang meletakkan Ahmad Zahid sebagai pihak bertanggungjawab terhadap salah laku kewangan atau kegagalan pelaksanaan projek.

“Tidak ada sedikit pun dapatan dalam audit forensik tersebut yang meletakkan Ahmad Zahid sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap salah laku kewangan atau kegagalan pelaksanaan projek, walaupun laporan itu dikemukakan pada tahun sama pentadbiran Pakatan Harapan 1.0.

“Maksudnya, apabila projek ini diteliti bukan sekadar pada surface value tetapi melalui audit forensik yang lebih mendalam, persoalan yang timbul bukan lagi mengenai campur tangan politik tetapi lebih kepada kelemahan tadbir urus, pengurusan kontrak dan pelaksanaan projek itu sendiri,” ujarnya.

Fadzmel berkata, sekiranya kelemahan kewangan dan pelaksanaan projek berkenaan berpunca daripada arahan peribadi Ahmad Zahid, perkara itu sepatutnya menjadi antara dapatan dalam audit forensik, siasatan dan proses akauntabiliti yang dijalankan selepas itu.

“Sebaliknya, daripada tahun 2020 sehingga hari ini tiada satu pun dapatan tersebut yang secara langsung mengaitkan Ahmad Zahid malah, tindakan perundangan pernah diambil terhadap individu yang dikatakan mempunyai tanggungjawab langsung dalam pengurusan projek,” katanya.

Baca juga:

Perkembangan itu susulan laporan terkini mengenai projek LCS bernilai RM11.22 bilion yang dilaporkan masih mengalami kelewatan, dengan kemajuan keseluruhan ketinggalan 7.55 peratus setakat 25 Jun lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved