LCS KD Maharaja Lela berjaya diluncurkan ke air bagi pemasangan peralatan lain
zakisalleh
04/06/2024 - 14:48
LUMUT 4 Jun – Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjalan mengikut jadual apabila berjaya dilancarkan ke air seperti dirancang.
Kapal KD Maharaja Lela itu telah diluncurkan ke air pada 23 Mei lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini merupakan perkembangan yang positif menunjuk progres projek LCS berjalan lancar.
Menurut beliau, fasa itu dilakukan selepas mendapat persetujuan pihak yang membuat reka bentuk, pihak yang mengawal kualiti pembinaan serta pengguna (TLDM).

"Peluncuran ini bertujuan menguji kestabilan serta keutuhan kapal, jadi ia telah melalui proses itu.
“Kita gembira kerana ia telah menepati 'milestones' (peristiwa penting) mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Limbungan Kapal Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di sini.
Hadir sama Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Kept. Ir. Azhar Jumaat.


Semasa lawatan tersebut beliau telah diberi taklimat tentang progres semasa pembinaan KD Maharaja Lela serta melihat kerja-kerja yang dilakukan.
Jelas Menteri Pertahanan, fasa seterusnya adalah pemasangan peralatan dan pelbagai persenjataan sebelum menjalani beberapa fasa ujian seterusnya.
Antara fasa ujian yang akan dijalankan adalah ujian pelabuhan dan ujian di laut.
Kapal LCS pertama dijadualkan akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2026.
Menyentuh tentang fasa ujian, menurut Khaled, ia memakan masa panjang kerana perlu dilaksanakan dengan teliti memandangkan LCS merupakan aset pertahanan kritikal untuk negara.

Mengenai perkembangan 4 buah kapal lain, katanya, progres kapal-kapal tersebut sedang dilaksanakan mengikut perancangan dan turut dibantu kepakaran tempatan.
Pembinaan kapal LCS2 pula sudah melebihi 60 peratus manakala LCS3 melebihi 50 peratus.
KD Maharaja Lela merupakan kapal pertama daripada 5 buah LCS untuk TLDM.
Perolehan kapal LCS merupakan salah satu daripada tonggak utama Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM.
Dagang News pada 20 Mei lalu melaporkan, tiang mast LCS telah siap dipasang bermakna kapal tersebut bakal diturunkan ke air tidak lama lagi.
Ini merupakan bahagian terpenting pada kapal kelas Gowind kerana bahagian modul sensor itu umpama nadi dan penderia kapal.
Mengikut jangkaan sebelum ini LCS pertama akan diturunkan ke permukaan air pada pertengahan tahun ini iaitu pada Mei atau Jun. - DagangNews.com

