Lebam Sebelah Mata, Pengadil Kena Tumbuk Dengan Presiden Kelab Turkiye

12 Dec 2023 • 12:33 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Lebam Sebelah Mata, Pengadil Kena Tumbuk Dengan Presiden Kelab Turkiye

Liga utama bola sepak Turkiye, Super Lig menjadi tumpuan dunia susulan insiden mengejutkan yang berlaku selepas perlawanan Ankaragucu vs. Rizespor semalam.

Menurut Sport Bible, pengadil perlawanan, Halil Umur Meler cedera diserang oleh Presiden kelab Ankaragucu, Faruk Koca.

Difahamkan, Meler telah ditumbuk di muka dan kemudian ditendang ketika terbaring di atas tanah.

Meler bagaimanapun berjaya dibawa keluar oleh pihak keselamatan dengan kesan lebam yang teruk jelas kelihatan pada bahagian mata kirinya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam selepas tamat perlawanan, Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan tersebut.

“Kami mengikuti perkembangan keadaan kesihatan Halil Umur Meler dan mendoakan beliau cepat sembuh.

Mata pengadil liga Turkiye lebam kena penumbuk presiden kelab

“Serangan ini bukan sahaja kepada Meler, tetapi sebenarnya kepada semua pihak berkepentingan dalam bola sepak Turkiye.

“Perbuatan menyerang pengadil adalah jenayah yang keji. Semua pihak yang menghasut supaya pengadil diserang perlu bertanggungjawab dalam insiden ini” kata kenyataan itu.

TFF turut mengecam tindakan segelintir pengurus dan pemilik kelab serta pengulas yang sering mengeluarkan kenyataan keras terhadap pengadil sebelum ini.

Kata TFF, tindakan tersebut didakwa menjadi antara punca kepada kejadian pengadil diserang.

Dalam pada itu, kes berkenaan kini disiasat oleh pihak berkuasa dan prosiding jenayah sudah pun dimulakan.

“Kelab yang bertanggungjawab dan presidennya, pengurus serta semua pihak yang menyerang Halil Umut Meler akan dikenakan hukuman paling berat.

“Persekutuan Bola Sepak Turki juga mengambil keputusan untuk menangguhkan semua perlawanan liga buat sementara waktu.”

Serangan itu turut mendapat perhatian Presiden Turkiye, Recep Erdogan yang mengutuk kejadian tidak bermoral tersebut.

“Saya mengecam serangan ke atas pengadil Halil Umut Meler. Saya berharap dia cepat sembuh.

“Sukan sepatutnya membawa mesej keamanan dan persaudaraan. Sukan bukannya satu keganasan.

“Keganasan tidak boleh sama sekali dibiarkan berlaku dalam sukan di Turkiye,” kata Erdogan.

Sementara itu, laman rasmi Ankaragucu di X kemudiannya telah mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf susulan kejadian tersebut.

“Kami mohon maaf kepada semua peminat bola sepak di Turkiye dan seluruh komuniti sukan atas insiden yang berlaku,” tulis kelab itu di laman X.

Terdahulu, perlawanan diantara kedua-dua kelab berkesudahan seri 1-1 selepas pasukan pelawat, Rizespor menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-97.

Keputusan itu menyaksikan Rizespor kekal di atas Ankaragucu dengan perbezaan empat mata.