Lebih 1,000 penduduk meriahkan program bersama wakil rakyat Seri Setia, MBPJ

28 Aug 2022 • 2:51 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING JAYA, 28 OGOS: Lebih 1,000 penduduk memeriahkan Program Mesra Rakyat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, hari ini.

Wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar berkata program membabitkan penduduk dari Zon 4, 21, 22, 23 dan 24 bertujuan mengeratkan hubungan antara pemimpin, agensi dan penduduk setempat.

“Ini bukan pertama, sejak saya menjadi ahli majlis dan sebelum itu lagi MBPJ sudah menganjurkan bagi mengeratkan hubungan bersama penduduk setempat.

“Hari ini kita dapat lihat semua lapisan masyarakat, peringkat umur, ada Melayu, Cina dan India hadir serta terbabit dengan pelbagai aktiviti,” katanya pada program diadakan di SS5 Kelana Jaya di sini.

Antara program tersebut seperti persembahan silat, pameran, sukan bola jaring, futsal, aktiviti mewarna, mencanting batik, pakaian beragam serta reruai dari pelbagai agensi kerajaan.

Pada program itu juga DUN Seri Setia bersama Team Selangor turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 20 veteran polis dan tentera.