Lebih 1,000 pokok orkid disyaki bawa serangga perosak dirampas

LocalEnvironment
5 Jun 2026 • 8:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 1,000 pokok orkid disyaki bawa serangga perosak dirampas
Sebanyak 1,400 pokok bunga orkid dipercayai dibawa masuk dari Thailand dirampas dalam serbuan di Kampung Lalang Pepuyu, Rantau Panjang pada Khamis. Foto:PGA

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas 1,400 pokok bunga orkid dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran negeri Pantai Timur dalam serbuan di Kampung Lalang Pepuyu, di sini pada Khamis.

Dalam operasi Ops Taring Wawasan kira-kira jam 4 petang itu, anggota Strike Force Kompeni A Batalion 8 PGA turut merampas sebuah Toyota Hilux Single Cab menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM400,000.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dijalankan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bahagian belakang kenderaan menemukan 1,400 pokok bunga orkid yang dipercayai diseludup dari Thailand dan disyaki membawa serangga perosak.

"Suspek ditahan di lokasi sebelum dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut. Rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan bagi tujuan siasatan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati bekalan pokok bunga orkid itu diambil dari nurseri sekitar Kampung Rahmat, Rantau Panjang sebelum dirancang untuk dipasarkan ke Terengganu dan Pahang.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.