Lebih 1,400 peserta pelbagai kaum jayakan iftar perpaduan JAIS

18 Mar 2026 • 8:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 18 MAC: Lebih 1,400 peserta menyertai program Iftar Inspirasi Perpaduan Perdana 2026 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, Sabtu lalu.

JAIS memaklumkan program julung kali diadakan itu bertujuan memperkukuh keharmonian masyarakat di Selangor melalui penglibatan pelbagai lapisan komuniti.

“Program yang bertemakan 'Rahmah Untuk Semua’ ini merupakan inisiatif yang menggabungkan ahli Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), saudara baharu (mualaf), golongan orang kurang upaya (OKU) serta individu bukan Islam.

“Penganjuran ini diterajui oleh Bahagian Dakwah JAIS dengan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), MACMA Selangor, dan Kelab Engineering Malaysian Airport Holdings Berhad,” katanya dalam kenyataan.

image is not available
Sebahagian peserta menghadiri program berbuka puasa anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sekali gus mengeratkan ukhuwah dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.Foto Facebook JAIS

Menurut JAIS, program tersebut dimulakan dengan Dialog Antara Budaya serta sesi perkongsian yang mengeratkan persefahaman melalui interaksi di meja iftar, disusuli dengan majlis khatam al-Quran dan tazkirah ringkas.

Tambah agensi itu, penganjuran berkenaan bertujuan menzahirkan Islam sebagai Rahmatan lil ‘Alamin yang membawa nilai rahmah, sekali gus mengurangkan salah faham terhadap agama Islam.

“Melalui program ini, benih perpaduan diharapkan terus disemai bagi memastikan masa depan Selangor kekal harmoni dan inklusif bagi seluruh rakyatnya,” katanya.