Lebih 1,500 sertai Borneo Safari ke-31

30 Oct 2023 • 1:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Rekod sejumlah lebih 1,500 peserta termasuk peserta asing dengan 530 kenderaan lasak yang sudah diubah suai memulakan kembara Borneo Safari ke-31 pada Ahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor yang merasmikan upacara pelepasan di hadapan bangunan Pelancongan Sabah di sini diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, juga merupakan Ketua Menteri pertama berbuat demikian dalam sejarah acara itu sejak ia bermula pada 1991.

Acara tahunan itu dianjurkan Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA) dan presidennya Faez Nordin berkata mereka terkejut dengan rekod penyertaan yang mengatasi 480 kenderaan dan 1,300 peserta tahun lepas.

“Kami tidak menyangka akan menerima jumlah yang begitu besar tahun ini selepas berdepan masalah cuaca dan kekangan masa pada Borneo Safari di Kota Belud tahun lepas, dan bagi pihak SFWDA, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas sokongan mereka kerana kami akan berusaha untuk menambah baik Borneo Safari untuk tahun-tahun akan datang.

“Peserta tahun ini selain Sabah dan negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, kita juga ada peserta antarabangsa dari Jepun, Hong Kong SAR, Indonesia, New Zealand, Brunei, Thailand, Filipina, United Kingdom, Australia dan India,” katanya.

Menurut beliau, pengenalan tiga laluan berbeza dalam pertandingan tahun ini, yang bakal menyaksikan peserta menerokai hutan sekitar daerah Keningau, Telupid dan Ranau, adalah bagi mengelak senario tahun lalu berulang di mana lebih separuh peserta tidak dapat menamatkan ekspedisi kerana kesesakan dan kekangan masa.

“Pengenalan sistem tiga laluan itu bertujuan untuk memastikan kelancaran konvoi di mana dua laluan masing-masing ditetapkan untuk kedua-dua kumpulan pertandingan dan kumpulan tag-on mulai hari kedua dan seterusnya.

“Laluan ketiga akan menyaksikan kumpulan khas sebanyak 80 kenderaan terdiri daripada kira-kira 180 peserta, kebanyakannya daripada kumpulan konvoi media yang menerokai Hutan Simpan Trus Madi selepas keluar dari konvoi utama sebelum hari pertama tapak perkhemahan di Kampung Sook.

“Ini adalah kesempatan sekali dalam seumur hidup bagi wartawan tempatan dan antarabangsa untuk mengalami salah satu hutan yang belum diterokai di Sabah di mana terdapat beribu-ribu spesies flora dan fauna yang berbeza.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhutanan Sabah kerana memberi peluang seperti ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan penaja atas sumbangan mereka.

Sementara itu, terdapat 27 peserta yang bersaing untuk merebut Trofi Cabaran Borneo Safari dengan hadiah keseluruhan bernilai RM250,000 tahun ini, dan mereka perlu melengkapkan 18 Peringkat Khas (SS) sepanjang acara selama seminggu itu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article