Lebih 10 Tahun Ikut Kursus Haji, Suri Rumah Syukur Jejak Tanah Suci

Local
2 Jun 2026 • 2:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Lebih 10 Tahun Ikut Kursus Haji, Suri Rumah Syukur Jejak Tanah Suci

Lebih 10 Tahun Ikut Kursus Haji, Suri Rumah Syukur Jejak Tanah Suci

Bukan semua impian boleh dicapai dengan wang ringgit.

Ada impian yang lahir daripada air mata, kesabaran dan doa yang dipanjatkan tanpa henti selama bertahun-tahun.

Ada juga rezeki yang hadir bukan kerana kita mencarinya, tetapi kerana Allah SWT memilih waktu terbaik untuk mengurniakannya.

Begitulah kisah menyentuh hati seorang suri rumah dari Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, yang akhirnya berpeluang menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci.

Tak putus berdoa

Bagi Jameliah Abdul Manaf, 66, peluang menunaikan ibadah haji bukan sekadar sebuah perjalanan ke Mekah.

Ia adalah jawapan kepada doa yang dipanjatkan hampir setiap hari selama bertahun-tahun.

Beliau merupakan antara individu yang terpilih menerima tajaan penuh Kerajaan Negeri Selangor bagi musim haji 1447H/2026M.

Menurut Jameliah, keadaan kewangannya sebelum ini tidak pernah mengizinkan beliau untuk menunaikan rukun Islam kelima itu. Malah, ada yang beranggapan impian tersebut mungkin sukar menjadi kenyataan.

Namun jauh di sudut hati, beliau tidak pernah berhenti berharap.

"Kemampuan kewangan memang tak mencukupi. Orang kata, mustahil saya boleh pergi. Tapi, lebih 10 tahun saya mengikuti kursus haji di masjid dan tak berhenti berdoa. Inilah doa saya. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat," katanya. 

Kisah 16 tahun bersama asnaf, lebih 250 individu & keluarga berjaya dibantu

Di sebalik penampilannya yang sederhana, Jameliah sebenarnya sudah 16 tahun bergiat aktif membantu masyarakat.

Semuanya bermula sekitar tahun 2010 apabila beliau mula membantu individu yang berdepan pelbagai kesukaran hidup.

Ada yang tidak memiliki kad pengenalan. Ada yang tiada sijil kelahiran. Ada yang kehilangan tempat tinggal.

Malah ada juga yang hidup dalam kemiskinan sehingga tidak tahu kepada siapa mereka perlu meminta pertolongan.

Melihat keadaan itu, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk membantu.

Walaupun ketika itu bukan seorang amil bertauliah, beliau tetap berusaha menyalurkan permohonan bantuan kepada agensi dan pihak berkaitan.

"Saya cuba bantu mereka dengan salurkan permohonan kepada pihak berkaitan di Selangor. Masa tu saya bukan amil bertauliah pun, saya buat atas kerelaan sendiri sahaja," katanya.

Baca juga:

Ketika itu, beliau aktif dalam pelbagai peranan di kampung dan masjid, termasuk sebagai ahli jawatankuasa masjid. 

Keadaan itu sedikit sebanyak memudahkannya untuk berurusan dengan pelbagai pihak demi membantu mereka yang memerlukan.

"Saya suri rumah sepenuh masa, jadi saya ada sedikit kelapangan untuk bantu orang. Bila kita berjaya bantu seorang, dia akan cerita kepada orang lain. Lepas tu datang lagi seorang minta bantuan, kemudian seorang lagi. Begitulah sampai makin ramai yang datang," katanya.

Dianggarkan lebih 250 keluarga dan individu pernah menerima manfaat hasil usaha yang dilakukannya selama ini.

Akhirnya, beliau menerima tauliah sebagai amil pada 2019 dan pernah diiktiraf sebagai Penolong Amil Kariah Terbaik selama dua tahun berturut-turut.

Tak pandai bawa kereta, tapi tetap gigih membantu

Apa yang lebih menyentuh hati, semua usaha itu dilakukan ketika beliau hanyalah seorang suri rumah biasa.

"Saya tak pandai bawa kereta. Saya pandai bawa motosikal saja. Kadang-kadang naik teksi pergi pejabat zakat," kongsinya.

Namun segala kepayahan itu hilang apabila melihat kehidupan seseorang berubah hasil bantuan yang diperoleh.

"Bila dengar permohonan mereka lulus dan mereka dapat bantuan, saya rasa seronok sangat. Allah saja yang tahu perasaan itu," tambahnya.

Lebih membanggakan, segala usaha tersebut sentiasa mendapat sokongan arwah suaminya yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Menurut beliau, restu suami menjadi antara kekuatan terbesar yang membolehkannya terus berkhidmat kepada masyarakat sehingga hari ini.

Rezeki tak pernah salah alamat

Menariknya, apabila namanya dicalonkan untuk menerima tajaan haji, beliau pada mulanya enggan menerima tawaran tersebut.

Bukan kerana tidak mahu. Tetapi kerana merasakan masih ramai individu lain yang lebih layak.

"Saya kata saya tak layak. Ramai lagi orang yang lebih berhak. Tapi pegawai beritahu, peluang seperti ini datang sekali sahaja," katanya.

Akhirnya, beliau akur dan menerima ketentuan Allah SWT dengan penuh rasa syukur.

Ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci, beliau mengakui segala penat lelah yang dilalui selama ini terasa begitu berbaloi.

"Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan hasrat saya untuk sampai ke Tanah Suci," katanya. 

Mungkin itulah yang sering diperkatakan orang ramai. Apabila kita ikhlas membantu orang lain, Allah SWT akan membuka pintu rezeki yang tidak disangka-sangka.

Sesungguhnya, rezeki tidak pernah salah alamat. Apabila Allah SWT mengizinkan sesuatu itu berlaku, tiada apa yang mustahil.

View Original Article