SHAH ALAM, 18 MAC: Lebih 100 umat Islam mengimarahkan sambutan Nuzul al-Quran yang diadakan di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan tadarus al-Quran dipimpin oleh Sheikh Abdullah Jahaf selama satu jam, diikuti kuliah dhuha yang disampaikan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir.
Tazkirah berkenaan mengupas mengenai kitab Dalail al-Khairat, sebuah kitab yang menghimpunkan pelbagai selawat ke atas Rasulullah SAW.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025 dan pelancaran kitab Dalail al-Khairat serta kitab Pengantar Ilmu Tafsir oleh Dato’ Seri Amirudin Shari.
Turut hadir EXCO Agama Dr Fahmi Ngah, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Shahzihan Ahmad dan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.
Sementara itu, peserta, Nurul Hidayah Arom, 30, hadir seorang diri ke program berkenaan selepas mengetahui mengenainya menerusi laman sosial Facebook Festival Turath Islami Selangor.

Anak kelahiran Jitra, Kedah ini berpendapat, umat Islam wajar kembali belajar dan memahami kitab-kitab lama Islam yang telah diwariskan ulama terdahulu.
“Bagi saya sangat penting untuk kita kaji dan belajar kitab-kitab lama Islam kerana ulama adalah pewaris nabi.
“Ini juga untuk kita faham bagaimana nabi sampaikan ilmu, jadi ia perlu berlandaskan ulama terdahulu,” kata pelajar ijazah kedoktoran (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini.

Bagi Muhd Hakim Shafiq, 24, beliau menyifatkan sambutan Nuzul al-Quran meriah terutamanya dengan pengisian kerohanian selain jualan buku dan kitab oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
“Sebenarnya saya tidak pernah ke Festival Turath Islami Selangor sebelum ini. Jadi tahun ini rasa teruja dan berazam untuk pergi.
“Bagi saya, penting untuk belajar kitab lama kerana ada banyak ilmu dan amalan yang perlu kita ketahui,” kata pembantu Sheikh Abdullah Jahaf ini.

The post Lebih 100 imarah sambutan Nuzul al-Quran di kediaman rasmi MB appeared first on Selangorkini.


