Lebih 117,000 Kandungan Berbahaya Dalam Talian Dipadam Sejak 2022

LocalPolitics
4 Nov 2026 • 7:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lebih 117,000 Kandungan Berbahaya Dalam Talian Dipadam Sejak 2022

KUALA LUMPUR - Lebih 117,000 kandungan berbahaya dalam talian dipadamkan daripada pelbagai platform digital susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh empat tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September 2026 itu membabitkan 60,632 kandungan berkaitan buli, 55,895 kandungan palsu dan 1,277 hantaran berunsur fitnah.

Beliau berkata, kerjasama antara MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi penyelarasan pemadaman kandungan serta penyekatan laman sesawang, bantuan teknikal, perkongsian maklumat dan analisis forensik digital.

Katanya, kerajaan turut memperkukuh kerangka kawal selia menerusi pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Penguatkuasaan terhadap kesalahan membabitkan fitnah dan buli siber turut melibatkan PDRM di bawah Kanun Keseksaan, manakala MCMC mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran kandungan berbahaya dalam talian mengikut bidang kuasanya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis Parlimen yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen bagi menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai langkah mencegah kandungan berbahaya di media sosial termasuk fitnah, buli siber dan penyebaran maklumat palsu.

Fahmi berkata, kerajaan turut menubuhkan jawatankuasa khas membabitkan kementerian dan agensi berkaitan bagi menyelaras usaha pencegahan serta penguatkuasaan berkaitan buli siber.

Dalam usaha membendung penyebaran maklumat palsu, portal Sebenarnya.my kendalian MCMC menerbitkan 1,211 artikel semakan fakta sepanjang tempoh berkenaan.

Selain itu, Pembantu Semakan Fakta Kecerdasan Buatan (AIFA) yang diperkenalkan pada 28 Januari 2025 memproses sebanyak 242,706 mesej setakat 15 September lalu.

Kempen Internet Selamat yang dilancarkan pada Januari 2025 pula berjaya mencapai lebih 2.8 juta peserta setakat 30 September lalu menerusi pelbagai program di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti di seluruh negara.

Menurut Fahmi, kempen itu bertujuan meningkatkan literasi digital serta kesedaran mengenai buli siber, maklumat palsu dan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan mengambil kira keperluan melindungi pengguna internet, selain menghormati kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkuat kuasa. - Getaran, 4 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved