
Lebih 15 orang dikhuatiri hilang selepas banjir kilat melanda kawasan Bright Angel Canyon dan Phantom Ranch di Taman Negara Grand Canyon, Arizona, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat (NPS) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Arizona untuk memindahkan pengunjung serta mengesan individu yang masih belum dapat dikenal pasti keberadaannya.
Sebelum ini, NPS melaporkan lebih 20 orang dipercayai hilang, namun jumlah itu kemudiannya disemak kepada lebih 15 orang.
Menurut kenyataan itu, banjir kilat berlaku kira-kira jam 2.30 petang selepas hujan lebat melanda Kaibab Plateau.
Rakaman video yang dirakam pendaki menunjukkan arus air berlumpur deras mengalir melalui laluan pejalan kaki dan bawah jambatan, selain membawa kayu balak serta serpihan lain.
Setakat pagi Ahad, seramai 62 orang telah dipindahkan dari kawasan terjejas, manakala proses pemindahan pengunjung lain masih dijalankan.
NPS berkata, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Dalam pada itu, pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlaku lebih banyak ribut petir dan hujan lebat sehingga Isnin.
Keadaan berkenaan berpotensi menyebabkan banjir kilat susulan, aliran serpihan, kejadian batu runtuh serta perubahan keadaan laluan dan sungai.
Banjir turut merosakkan saluran paip air utama yang membekalkan air ke Taman Negara Grand Canyon.
Susulan kerosakan itu, sekatan penggunaan air dikenakan di kawasan taman yang paling banyak dikunjungi, selain larangan menyalakan api menggunakan kayu atau arang.
Beberapa kemudahan penginapan bermalam turut akan ditutup buat sementara waktu, namun taman berkenaan masih dibuka untuk kunjungan pada waktu siang.




